Umat terdahulu amalkan cara berbeza ikut nabi masing-masing
Ramadan terkenal di seluruh dunia kerana umat Islam di negara Islam dan
bukan Islam berpuasa serentak pada siang hari selama 29 atau 30 hari mengikut
piawaian ditetapkan Allah SWT.
Tempoh puasa wajib yang panjang itu terus diamalkan umat Islam sejak 1430 tahun
lalu hingga kini dengan mengekalkan syarat dan rukunnya tanpa mengalami
perubahan. Disebutkan dalam al-Quran, puasa adalah amalan diwajibkan sejak
kemunculan Islam lagi.
Persoalan besar timbul ialah umat nabi manakah yang berpuasa mengikut
syariat dikuatkuasakan pada masa itu?
Ahli tafsir Imam Qurtubi memetik
pendapat As-Syaabi dan Qatadah menerangkan maksud umat terdahulu merujuk syariat
amalan puasa diamalkan umat Nabi Musa dan Nabi Isa. Menurut sejarah, Nabi Musa
bersama kaumnya berpuasa selama 40 hari semasa berada di Bukit Tursina, Mesir.
Nabi Isa dan pengikut setianya juga berpuasa seperti mana diamalkan Nabi
Musa. Dalam surah Mariam dinyatakan Nabi Zakaria dan Mariam sering mengamalkan
puasa. Manakala Nabi Daud diriwayatkan berpuasa berselang seli iaitu sehari
berpuasa dan sehari berbuka sepanjang tahun.
Demikianlah antara amalan
puasa nabi terdahulu yang dapat dikesan ahli tafsir dan sejarah. Walaupun amalan
puasa nabi lain tidak dapat dikesan tetapi kita yakin amalan puasa menjadi
sebahagian syariat nabi lain.
Menurut sejarah, Nabi Muhammad SAW sendiri
sebelum dilantik menjadi rasul mengamalkan puasa tiga hari setiap bulan selain
mengamalkan puasa Asyura yang jatuh pada hari ke-10 Muharam. Puasa Asyura turut
diamalkan masyarakat Quraisy dan Yahudi yang tinggal di Madinah.
Sebahagian 25 rasul yang wajib dipercayai dalam Islam dari keturunan
Bani Israel. Bagaimanapun, ajaran Nabi Musa menjadi rujukan utama agama Yahudi.
Mengikut Encyclopedia of Religion, terdapat segolongan penganut Yahudi
mengamalkan puasa mengikut syariat Nabi Musa, Nabi Yahya, Nabi Ilyas yang
berpuasa 40 hari selain berpuasa hari Isnin dan Khamis secara sukarela.
Berdasarkan ensiklopedia itu juga, penganut Yahudi Ortodoks mengamalkan
puasa wajib satu hari pada hari Yom Kipur (hari pembersihan dosa) seperti mana
disuruh dalam Kitab Taurat Nabi Musa. Kemudian mereka menambah empat hari lagi
satu hari pada bulan Ab, Tammuz, Tebeth dan Tisri mengikut kalendar Yahudi
sebagai hari berkabung atas bencana menimpa bangsa Yahudi.
Manakala
syariat Nabi Isa yang berasal dari Bani Israel pula menjadi rujukan utama
penganut agama Kristian. Secara tradisinya agama Kristian menghendaki
penganutnya berpuasa 40 hari mulai hari Ash Wednesday hingga hari perayaan
‘Easter’ iaitu sebelum sambutan Krismas.
Puasa ini diamalkan sebagai
menghormati kesengsaraan Nabi Isa selama 40 hari. Puasa tradisi lain ialah puasa
pada hari ‘Rogestion Days,’ ‘Ember Day,’ puasa mingguan pada hari Rabu dan
Jumaat, puasa sempena perlantikan paderi serta hari Baptis.
Bagaimanapun, kedudukan puasa tradisi masyarakat moden Kristian hari ini
sudahmengalami perubahan besar.
Persidangan gereja Vatican pada 1965 di
Rom memutuskan mereka hanya berpuasa sebahagian atau berpantang tidak makan
daging pada hari ‘Ash Wednesday’ dan ‘Good Friday.’ Kelonggaran peraturan dibuat
sebagai usaha menggalakkan masyarakat Kristian berpuasa.
Secara
perbandingan, ternyata piawaian puasa disyariatkan kepada umat Islam di zaman
Nabi Muhammad masih kekal hingga kini. Ulama yang menjadi pewaris perjuangan
nabi dan disokong kuat umat Islam terus memantapkan serta mengukuhkan ajaran
Islam.
Manakala amalan puasa yang disyariatkan kepada pengikut Nabi Musa
dan Nabi Isa mengalami banyak perubahan dan hampir pupus ditelan zaman. Kita
yakin ajaran syariat Nabi Musa dan Nabi Isa pupus kerana ajarannya sesuai untuk
umat pada waktu itu saja.
Pengikutnya membuat pengubahasuaian ajaran
mengikut pemikiran mereka.
Masyarakat Kristian Ortodoks Greek dan Roman
Katholik suatu ketika dulu kuat mengamalkan puasa tradisi kini hanya mengamalkan
puasa dengan berpantang makanan tertentu pada ‘Ash Wednesday’ dan ‘Good Friday.’
Sebahagian besar gereja mazhab Kristian Protestant menganggap puasa
adalah hak individu untuk mengamalkannya. Puasa juga diamalkan agama lain. Puasa
dalam agama Buddha bersifat berpantang dengan tidak memakan makanan tertentu.
Manakala dalam agama Hindu, Confusios, Tao dan ajaran animisma juga
berpuasa untuk pemujaan roh. Puasa yang diamalkan dalam agama ini bersifat
berpantang tidak makan makanan tertentu.
Islam agama membawa rahmat.
Ibadah puasa yang diamalkan umat Islam di seluruh dunia tidak membebankan
umatnya. Pakar perubatan mengakui puasa amat baik untuk pencegahan dan rawatan
penyakit
No comments:
Post a Comment