nuffnang

LIKE ME

Saturday, 21 July 2012

Tingkat kualiti pada Ramadan

Rasulullah, sahabat harungi peperangan Badar ketika puasa
Alhamdulillah, bersyukur dan bertuah serta bergembiralah kita kerana hari ini kita berpeluang bertemu dengan Ramadan yang sarat dengan kemuliaan, keberkatan dan kerahmatan serta dijanjikan Allah SWT pelbagai limpahan ganjaran serta pengampunan dosa. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan puasa Ramadan dengan beriman dan mengharapkan rahmat Allah SWT, nescaya diampunkan baginya dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Jika pada kebiasaannya kita bersarapan, boleh menjamah jamuan selepas mesyuarat, tetapi dalam bulan ini semua kebiasaan itu tidak dapat dikecapi.

Perubahan ini sedikit sebanyak boleh mengubah semangat, kesegaran dan jadual kerja seharian jika kita tidak mempersiapkan diri sehingga ada mengaitkan pekerja sebagai kurang produktif di bulan ini.

Perubahan masa
Bahkan, perubahan pada semua kebiasaan ini, jika tidak difahami, dihayati serta dilalui sepenuhnya dengan kesedaran, pengetahuan serta kesabaran boleh menjadikan amalan berpuasa hanya suatu adat dan kerja seharian pula menjadi berat.
Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada kelaparan, kerana itu adalah teman berbaring yang paling buruk dan aku berlindung kepada-Mu daripada khianat, kerana itu adalah pendamping yang sangat buruk.” (Hadis riwayat Abu Daud, al-Nasaie dan Ibn Majah)

Justeru, Allah SWT mengubah kebiasaan hamba-Nya dan memerintahkan kita menahan diri daripada makan dan minum serta perkara membatalkan puasa selama sebulan untuk menguji ketaatan dan kesabaran semata-mata kerana memenuhi perintah Allah SWT.

Sabda Rasulullah, Ramadan adalah bulan kesabaran. Sabdanya lagi Allah SWT berfirman: “Segala amal bakti anak Adam adalah untuknya kecuali amalan puasa, maka ia adalah untuk-Ku, dan Akulah yang membalasnya (dengan balasan yang sebaik-baiknya).” (Hadis riwayat Muslim)

Bentuk insan taat diri

Selain memberikan pelbagai hikmah Ramadan dan orang yang berpuasa bagi membentuk diri menjadi insan yang taat dan bertakwa walaupun dengan mengubah kebiasaan dan mengurangkan keperluan.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 216 bermaksud, “boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”.

Mengimbas sejarah Rasulullah dan sahabat serta salafussalih berpuasa dapat merangsang semangat dan kesabaran kita.

Harungi peperangan

Bagaimana Rasulullah SAW dan sahabat boleh mengharungi peperangan Badar dalam bulan ini? Semua ini kerana, ia dilakukan kerana Allah dan untuk merebut limpah kurniaan- Nya.

Justeru, marilah kita renungi dengan mendalam dan contohi seberapa mampu supaya Ramadan kali ini lebih baik berbanding sebelumnya.

Pepatah Arab menyebut, “tirulah kemuliaan kerana sesungguhnya ia boleh membawa kejayaan walaupun jika tidak dapat melakukan yang benar-benar serupa”.

Justeru, bagi mengelakkan puasa adat dan kerja menjadi berat, perlulah kita mempunyai kesedaran dan pengetahuan asas yang baik di awal Ramadan ini.

Pertama, dengan mengetahui kelebihan dan hikmah berpuasa. Antaranya bahawa setiap amalan kebajikan dalam bulan ini digandakan dengan berlipat kali ganda pahalanya, diberikan dengan malam lailatul qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan, dimakbulkan doa, diampunkan dosa dan disediakan syurga yang dinamakan ar-Rayyan.

Peluang keemasan

Kedua, dengan mensyukuri kelebihan dan kemudahan dalam bekerja berbanding kerjaya individu lain yang lebih susah dan berat.

Dalam sebuah hadis sahih disebutkan, “Dalam hal dunia, hendaklah kamu melihat kepada orang yang di bawah”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad).

Ramadan perlu menjadi peluang keemasan untuk direbut dengan melipat gandakan amal dan kerja supaya lebih baik serta berkualiti daripada kebiasaan.

No comments:

Post a Comment