nuffnang

LIKE ME

Wednesday, 18 July 2012

KESAN PIL PERANCANG


Dalam istilah perubatan, keadaan ini dikenali sebagai post pill aAmenorrhea. Ia berlaku apabila seseorang wanita tidak datang haidnya setelah berhenti mengambil pil perancang kehamilan. Walaupun ia tidak selalu terjadi, namun keadaan ini berlaku secara signifikan, iaitu pada 0.2 hingga 3.0 peratus. Ini bermakna dalam 1,000 wanita yang mengamalkan pil perancang kehamilan, sebanyak 2-30 orang akan mengalami masalah ini. Janganlah puan runsing kerana masalah yang dialami ini agak biasa.
Apabila seseorang wanita mengambil pil perancang kehamilan, aras hormon estrogen dan progesteron dalam tubuh berada pada tahap agak tinggi. Secara tidak langsung akan menyebabkan kelenjar pituitari di otak tidak dapat berfungsi secara normal. Dalam kitaran haid wanita yang biasa, kelenjar pituitari akan mengeluarkan hormon Perangsang Folikel (Follicle Stimulating Hormone- FSH) dan hormon Peluteinan (Luteinizing Hormone- LH) yang akan merangsangkan ovari (kilang telur) menghasilkan folikel yang mengandungi ovum (benih wanita).

Folikel yang membesar ini akan mengeluarkan hormon estrogen. Apabila folikel ini matang dan pecah, ia mengeluarkan ovum. Pada masa inilah (biasanya pada pertengahan kitaran haid atau hari ke 14 kitaran haid) dinamakan ovulasi dan hormon progesteron dikeluarkan. Apabila seseorang wanita mengamalkan pengambilan pil perancang kehamilan yang mengandungi hormon estrogen dan progesteron, kedua-dua hormon ini akan berada dalam tubuh pada aras yang tinggi. Kenaikan hormon ini akan memberikan tindak balas negatif apabila kelenjar pituitari merasakan bahawa estrogen dan progesteron cukup dalam badan. Maka kelenjar pituitari tidak mengeluarkan hormon FSH dan LH yang secara tidak langsung, menghalang ovulasi berlaku. Ini akan mencegah daripada ovum dikeluarkan dan wanita itu tidak akan hamil.
Selalunya wanita mengamalkan pengambilan pil perancang kehamilan untuk jangka masa yang agak lama antara satu hingga dua tahun sementara menantikan bayi yang baru lahir membesar. Oleh kerana pengambilan yang terlalu lama ini, kesan tindak balas negatif pada kelenjar pituitari akan terus dirasakan walaupun wanita itu tidak memakan pil perancang kehamilan lagi. Ini akan menghalang ovulasi dan juga kedatangan haid.
Diagnosis dan rawatan Kebiasaannya, doktor akan memberikan diagnosis berdasarkan sejarah pesakit yang pernah mengambil pil perancang kehamilan. Pemeriksaan imbasan ultrabunyi (ultrasound) akan menunjukkan ovari yang tidak mempunyai folikel yang sedang berkembang. Dengan kata lain tiada folikel yang kelihatan.Pemeriksaan darah pula menunjukkan aras hormon FSH, LH dan estrogen berada pada aras yang amat rendah.
Kebiasaannya, doktor tidak memberikan apa-apa ubat untuk masalah ini. Jika keadaan terus berlaku selama enam bulan, barulah doktor akan memberikan ubat yang mengandungi hormon progesteron selama lebih kurang lima hari untuk mendatangkan haid. Tindakan ubat ini amat cepat, pada kebiasaannya pendarahan haid akan berlaku setelah beberapa hari cukup tempoh pengambilan pil progesteron.
Namun begitu, harus puan ketahui bahawa pendarahan haid tidak akan bermakna jika tiada pengeluaran ovum dari ovari. Ini kerana pil progesteron tidak menggalakkan perkembangan folikel di ovari.
Jadi, ubat subur (clomiphene citrate) dibekalkan untuk menggalakkan perkembangan folikel bagi proses ovulasi. Eloklah puan berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.

No comments:

Post a Comment