nuffnang

LIKE ME

Thursday, 21 June 2012

Konflik Raya

Konflik Raya

 Jaga keselamatan keluarga, usah penting diri

HANYA tinggal dua hari saja lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri.
Seorang ibu kepada enam pening memikirkan bagaimana untuk mencukupkan perbelanjaan bagi menguruskan persiapan raya dan pada masa mengasingkan bajet untuk perkahwinan anak perempuan sulungnya yang dijadualkan pada Disember.
“Pening saya memikirkan persoalan ini kerana semua urusan perbelanjaan kahwin kena saya tanggung sepenuhnya.

“Anak baru kerja, tapi jodohnya dah sampai. Kalau tidak diikutkan, saya bimbang terjadi perkara yang tidak baik kemudian hari,” kata wanita itu yang mahu dikenali sebagai Zi saja.

Menurut Zi, dia suri rumah sepenuh masa, hanya suami yang bekerja. Lima anak lagi masih sekolah, tiga daripadanya di pusat pengajian tinggi.

Walaupun perbelanjaan kahwin ditetapkan RM10,000, ia masih tidak mencukupi untuk menguruskan majlis kenduri.
“Selepas ditolak wang bagi perbelanjaan penyediaan baju dan solekan pengantin, yang tinggal hanya RM3,000. Wang ini pula akan digunakan untuk membeli set peralatan bilik tidur pengantin.

“Saya dan suami kena sediakan belanja untuk kenduri yang mencecah ribuan ringgit lagi termasuk menyediakan pakaian sedondon untuk anggota keluarga,” katanya.

Bagi memastikan bajet tidak lari, Zi mengambil keputusan bersederhana dalam menguruskan perbelanjaan hari raya.

“Saya tak ganti langsir baru tahun ini. Pakaian hari raya anak adalah dua pasang seorang. Yang besar saya beri mereka duit untuk memilih sendiri baju raya masing-masing,” kata Zi.

Apabila Kak Ani tanya Zi, tak boleh ke bersederhana menguruskan majlis kahwin, Zi berkata dia terpaksa akur dengan kehendak anaknya.

Trend berkahwin secara mewah sudah jadi tradisi sekarang, yang pening memikirkan ialah ibu bapa pengantin.

Selain dilema yang dihadapi Zi, ada lagi mereka yang berdepan masalah tersendiri menjelang Syawal.

“Saya seronok sambut raya tahun ini kerana ada duit sendiri, tetapi apabila dapat tahu kami tidak berpeluang cuti untuk beraya di kampung bagi memberi laluan kepada senior, hati saya sebak,” kata gadis manis dikenali sebagai S.

S dan beberapa rakan seangkatan yang baru beberapa bulan bekerja di sebuah syarikat penerbitan terpaksa menahan rasa sedih.

S tak dapat bayangkan bagaimana berhari raya di pejabat. Inilah kali pertama saya tak dapat menyambut hari pertama raya di kampung bersama ibu, bapa dan adik beradik lain.

Menurut S, dia dan rakan-rakan lain mungkin dapat cuti rehat mingguan saja.

“Walaupun dapat cuti mingguan dua hari, saya akan berusaha pulang beraya bersama ibu dan ayah. Sama ada raya ketiga atau keempat itu tak penting, yang lebih utama saya dapat pulang bersalam dan memohon maaf dengan mereka,” kata S.

Masalah berebut mendapat cuti raya berlaku di mana-mana syarikat.

Biasanya mereka yang berasal dari luar Kuala Lumpur akan diberi keutamaan bercuti panjang.

Kalau mendapat cuti pendek, kata orang tak berbaloi, penat di jalanan saja.

Bagaimanapun untuk lebih adil, ketua jabatan perlu membuat keputusan bijak dalam menangani masalah cuti raya di kalangan pekerja bawahannya.

Pekerja yang berasal sekitar ibu kota atau Selangor tidak seharusnya berterusan menjadi mangsa korban.

Sekali sekala mereka juga perlukan ruang masa selesa untuk beraya bersama keluarga.

“Walaupun tiada kampung, kami hendak juga meraikan jiran tetangga yang datang beraya di rumah.

“Kalau bekerja pada hari raya, mana sempat saya hendak raikan tetamu,” kata G.

Menurut G, ramai saudara mara tak faham dengan kerjanya yang mempunyai syif dan mempunyai jadual tugas ditetapkan.

Selain berebut cuti, ada pasangan yang tiba-tiba berdepan konflik rumah tangga apabila tiba bab balik raya di kampung.

Konflik ini biasa berlaku di kalangan pasangan yang berasal dari negeri berbeza.

Bagi mengatasi konflik ini, ada pasangan yang membuat perjanjian awal iaitu mewujudkan sistem giliran balik kampung.

Tindakan mengamalkan sistem giliran dianggap wajar supaya setiap pasangan itu mendapat peluang yang sama rata beraya dengan orang tua masing-masing.

Walaupun sistem itu ada, tetapi pasangan tidaklah seharusnya terlalu bertegas dengan keputusan itu.

Ada masa sistem itu boleh berubah jika berlaku sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan.

Sebagai manusia kita boleh merancang tetapi apabila tiba masa pelaksanaannya ia bergantung kepada kehendak Allah.

Pada masa sekarang sistem perhubungan semakin baik dan ini memudahkan orang ramai pulang berhari raya.

Namun dalam berdepan dengan kemudahan itu, ramai pengguna leka terutama ketika memandu pulang.

Jalan raya yang semakin baik tak harus dijadikan medan untuk menunjukkan jaguh, siap yang cepat dulu sampai ke kampung.

Dalam keadaan sekarang tidak dinafikan berlaku kesesakan lalu lintas sama ada menghala ke utara, selatan mahupun ke timur.

Kak Ani nak ingatkan pemandu kenalah banyak bersabar dan mematuhi kelajuan yang ditetapkan di jalan raya.

Ingatlah semua yang dalam perjalanan itu ingin beraya bersama keluarga di kampung.

Ketika berada di jalan raya, ingatkan keselamatan keluarga dan jangan pentingkan diri.

Jika berlaku kesesakan, memandulah ikut pergerakan kenderaan itu, bukan bertindak memotong sewenang-wenang atau memandu menggunakan bahu jalan yang boleh membahayakan pengguna motosikal.

Setiap kali pulang ke kampung dan apabila berdepan dengan kenderaan yang memecut laju, Kak Ani sering kali tertanya apa yang hendak dikejarkan pemandu itu.

Kalau perlu cepat sampai ke destinasi, bertolaklah lebih awal, bukan bertolak lewat dan mahu cepat sampai.

Macam-macam perkara boleh berlaku jika kita memandu melulu. Kita mungkin selamat, tanpa kita sedar tindakan kita menjadi punca orang lain ditimpa musibah.

Kak Ani ucapkan Selamat Hari Raya, Selamat tinggal Ramadan, moga ketemu lagi bulan rahmat ini tahun depan

No comments:

Post a Comment