Serangan strok boleh mengubah hidup anda selama-lamanya. Sudahkah anda
mendapatkan maklumat yang secukupnya untuk menyelamatkan diri dan orang
tersayang sekiranya diserang angin ahmar atau strok?
Kira-kira
40,000 rakyat Malaysia diserang strok setiap tahun, tetapi tidak ramai
yang sedar bahawa mereka mempunyai risiko strok. Malah hanya segelintir
sahaja yang mengetahui tanda amaran atau maklum tentang apa yang patut
dilakukan sekiranya disyaki mengalami strok.
Pakar Runding
Neurologi, Dr Wong Yee Choon menjelaskan strok juga dikenali sebagai
‘serangan otak’ kerana strok berlaku apabila aliran darah ke otak
terganggu.
“Kejadian ini boleh berlaku dalam dua cara yang
berbeza, apabila salur darah di dalam otak pecah (dikenali sebagai strok
berdarah) atau apabila terdapat salur darah tersekat (yang dikenali
sebagai strok iskemia).
“Ramai orang tidak sedar bahawa strok menyerang otak kita,” kata Dr Wong.
Menurut
beliau orang ramai juga perlu memahami bahawa strok, khususnya strok
iskemia, boleh dirawat secara berkesan untuk mengurangkan kerosakan
kepada otak. Sebahagian besar orang ramai juga tidak merawat kes yang
disyaki strok dengan tahap kepantasan dan kecemasan yang sama seperti
mereka disyaki diserang sakit jantung.
Sebagai contoh, orang yang
merasa sakit dada akan segera mendapatkan rawatan perubatan kerana
mereka bimbang mereka mungkin mengalami serangan jantung. Namun, ramai
yang menghidap gejala strok, seperti kelemahan di sebelah bahagian badan
atau pertuturan yang kurang jelas, cuma mengambil sikap ‘tunggu dan
lihat’ dan tidak mendapatkan rawatan perubatan dengan serta-merta.
Seorang
pesakit yang menjadi bukti betapa pentingnya tindakan segera diambil
ialah Khoo Key Jin, yang tangan kirinya tiba-tiba tidak bermaya semasa
dia berjoging.
“Saya rasa lengan saya tiba-tiba terjatuh dan saya
tidak dapat mengawalnya. Kemudian mulut saya mula mengendur dan saya
tidak dapat bercakap dengan lancar,” jelas Key Jin.
Mujurlah dia
pernah membaca rencana tentang strok dan mengetahui gejalanya. Ini
membolehkan dia bertindak dengan serta-merta. Dia menghubungi
keluarganya dan meminta mereka menghantarnya ke hospital. Mereka tiba di
Bahagian Kemalangan dan Kecemasan hospital dan dia menerima rawatan
dalam masa sejam.
“Saya bernasib baik kerana dirawat oleh seorang
doktor yang berwibawa, dia memberi saya pilihan rawatan yang berkesan.
Selepas diberi suntikan, saya boleh menggerakkan tangan dalam masa
beberapa minit!
“Doktor kata biasanya pemulihan penuh mengambil
masa tiga hingga enam bulan, tetapi mereka hanya meletakkan saya di
bawah pemerhatian selama beberapa hari, dan apabila saya keluar dari
hospital, segalanya sudah pulih seperti biasa,” katanya..
Tanda Strok
Menurut Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM), tanda amaran penting yang perlu diawasi ialah:
*Kelemahan
atau kebas secara tiba-tiba pada sebelah bahagian badan. Tandanya
termasuk muka kuyu dan kelemahan pada tangan dan/atau kaki.
*Pemandangan kabur secara tiba-tiba pada sebelah mata atau kedua-dua belah mata.
*Kesukaran bercakap atau memahami pertuturan, atau pertuturan tidak jelas.
*Pening, hilang keseimbangan, kekeliruan
*Sakit kepala serius secara tiba-tiba
Sekiranya
anda memerhatikan atau mengalami mana-mana satu daripada masalah
tersebut, langkah seterusnya yang perlu diambil ialah mendapatkan
perhatian perubatan serta-merta di hospital. Walaupun gejalanya singkat
sahaja, anda atau orang tersayang anda masih dalam bahaya. Jangan tunggu
lebih banyak gejala dialami, atau menunggu dan melihat jika gejala
bertambah buruk. Tindakan awal mungkin boleh menyelamatkan nyawa.
“Ramai
orang kehilangan banyak masa mendapatkan rawatan kecemasan yang boleh
membawa perbezaan ketara dari segi pemulihan strok. Tindakan segera amat
penting dalam rawatan strok kerana matlamat utama ialah memulihkan
aliran darah ke dalam otak, lantas mengurangkan risiko kerosakan kepada
sel otak.
“Perkara paling penting untuk diingat sekiranya diserang strok, dapatkan rawatan perubatan serta-merta,” ujar Dr Wong.
Persediaan
untuk bertindak dengan segera juga boleh menjimatkan masa yang
berharga, seperti menyediakan senarai nombor kecemasan dan mengetahui
hospital atau kemudahan perubatan mana berhampiran rumah anda yang
mempunyai pusat dan unit strok.
Terkini
Walaupun
rawatan pencegahan bagi strok adalah pelbagai, daripada terapi
antiplatelet kepada rawatan penyakit kronik lain seperti diabetes dan
hipertensi, satu terapi yang semakin mendapat perhatian dan lebih
dikenali di kalangan pesakit dan doktor ialah agen trombolitik seperti
alteplase, yang membantu membuka salur darah (arteri) sekiranya berlaku
sekatan (strok iskemia).
Alteplase (juga dikenali sebagai pemecah
bekuan) wujud secara semula jadi dalam badan, tetapi pada kadar yang
sangat rendah. Maka jika berlaku strok, alteplase disuntik ke dalam
badan untuk membantu mencairkan pembekuan darah.
Walaupun
kebanyakan orang sudah biasa dengan langkah pencegahan menerusi aspirin,
yang mencegah pembekuan daripada berlaku, terapi khusus seperti
alteplase semakin diakui kerana mampu memperbaiki tahap pemulihan
pesakit apabila diberikan dalam tempoh tiga jam daripada bermulanya
gejala.
Pendek kata, alteplase membantu mencairkan bekuan dan
memulihkan aliran darah ke dalam otak, lantas mengurangkan kerosakan
kepada sel otak.
Dalam satu kajian klinikal yang diterbitkan di
dalam New England Medical Journal (keluaran 25 September) membabitkan
800 pesakit, alteplase didapati meningkatkan kemungkinan mencapai
kehilangan upaya minimum atau tiada langsung kehilangan upaya selepas
strok sebanyak 34 peratus bagi pesakit yang diberikan rawatan dalam
tempoh antara tiga hingga 4.5 jam selepas bermulanya gejala.
Sebelum
ini, alteplase hanya disyorkan penggunaannya sehingga tiga jam dari
bermula gejala strok, kajian terbaru ini menunjukkan bahawa penghidap
strok iskemia boleh mendapat manfaat daripada rawatan dengan alteplase
sehingga 4.5 jam selepas diserang strok. Lebih penting lagi, profil
keselamatan alteplase apabila digunakan dalam tempoh tiga hingga 4.5 jam
adalah konsisten dengan penggunaan dalam jangka waktu diluluskan antara
0 hingga tiga jam.
“Pada asasnya, pesakit mempunyai masa
tambahan 1.5 jam untuk mendapatkan rawatan. Doktor kini diberi peluang
lebih tinggi untuk membantu pesakit mengurangkan kesan strok.
Bagaimanapun, adanya lebih masa tidak bermakna kita harus berlengah.
Pergi ke hospital yang mempunyai unit (pusat) strok dengan serta-merta,”
tegas Dr. Wong.
Risiko Strok
NASAM menyenaraikan faktor risiko strok boleh diubah sebagai :
*Tekanan darah tidak dirawat (hipertensi). Masalah ini boleh merosakkan dinding salur darah (arteri).
*Diet
tidak sihat. Diet yang tinggi kandungan garam dikaitkan dengan tekanan
darah tinggi, manakala diet tinggi kandungan lemak dan gula dikaitkan
dengan penyempitan arteri (aterosklerosis).
*Diabetes Melitus.
Orang yang menghidap kencing manis berkemungkinan lebih tinggi menghidap
aterosklerosis, justeru mereka menghadapi risiko strok yang lebih
tinggi.
*Pernah mengalami ‘strok iskemia sementara’ (TIA) – strok
mini yang menyebabkan gejala strok sementara. Kira-kira seorang
daripada lima orang yang mengalami strok penuh pertama kali pernah
mengalami satu atau lebih TIA sebelum ini.
*Pemfibrilan atrium.
Denyutan jantung tidak tetap ini meningkatkan risiko pembentukan darah
beku di jantung, yang kemudian beralih dan bergerak ke otak.
*Merokok. Tabiat ini mewujudkan beberapa kesan buruk terhadap arteri, menyebabkan aterosklerosis.
*Kerap
minum alkohol dalam jumlah yang banyak. Secara beransur-ansur tabiat
ini meningkatkan tekanan darah, manakala terlalu banyak minum boleh
meningkatkan tekanan darah ke paras yang sangat tinggi dan mungkin
mencetus strok.
*Jenis pil kontraseptif oral tertentu. Ini boleh
menjadikan darah lebih likat dan berkemungkinan lebih tinggi untuk
membentuk darah beku.
Faktor risiko tidak boleh diubah termasuk:
*Usia.
Strok lebih umum dialami di kalangan orang yang berusia lebih 55 tahun,
dan kadar kejadian terus meningkat seiring dengan peningkatan usia.
*Jantina. Lelaki menghadapi risiko strok lebih tinggi berbanding wanita, terutamanya lelaki di bawah usia 65 tahun.
*Sejarah keluarga. Mempunyai saudara terdekat yang mengalami strok meningkatkan risiko.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment