nuffnang

LIKE ME

Thursday, 21 June 2012

Menantu tersisih

 Menantu tersisih

 Ibu anggap isteri baru anak penyebab rumah tangga berkecai

TIADA orang mengimpikan rumah tangga yang dibina berkecai di tengah jalan. Begitu juga tiada wanita yang sanggup merampas suami orang lain untuk mengecapi alam hidup berumah tangga.

Jodoh pertemuan, hidup mati adalah ketentuan Tuhan.
Mesej inilah yang ingin disampaikan oleh seorang jejaka berasal dari Pahang yang mahu dikenali sebagai Din.
Menurut Din, sudah enam bulan dia berkahwin dengan isterinya sekarang yang dikenali sebagai Mina.

“Perkahwinan kami tidak direstui ibu saya yang memberi alasan, isteri saya sekarang adalah punca saya bercerai dengan bekas isteri saya sebelum ini.

“Saya sanggup bersumpah, Mina bukan puncanya kerana saya mengenali Mina selepas sudah lama bercerai dengan bekas isteri saya.

“Perceraian itu adalah atas kehendak saya kerana tidak tahan dengan sikap bekas isteri,” katanya.
Din bagaimanapun tidak pula menghuraikan sikap buruk bekas isteri yang menyebabkan dia mengambil keputusan senekad itu.

“Walaupun bermacam-macam alasan saya berikan kepada ibu, dia tetap menyalahkan isteri baru saya.

“Isteri baru saya adalah muslimah yang baik. Walaupun tahu dirinya tidak disukai ibu, dia sentiasa meminta keizinan saya untuk menemui ibu, namun saya menghalangnya kerana tidak mahu perkara buruk berlaku ke atasnya.

“Saya bimbang isteri saya dimaki ibu dan menyakitkan hatinya,” kata Din
Walaupun ibu menentang perkahwinannya, Din tetap mengunjungi ibunya seorang diri. Ketika pulang ke rumah ibu, tidak sedikit pun ibu bertanyakan mengenai menantu barunya.

“Berbeza sekali dengan isteri saya yang selalu mengharapkan dapat berjumpa ibu. Dia memang merindukan kasih saya ibu mentua seperti mana dirasai pasangan lain.

“Melihat kesabaran isteri itu, saya buntu untuk mencari jalan bagi merapatkan hubungan antara menantu dan mentua ini.

“Setiap kali pulang ke rumah orang tua isteri, mereka sering bertanya khabar mengenai besan mereka. Pertanyaan itu memang sukar dijawab dan kadang-kadang memberi tekanan kepada saya dan isteri.

“Kami berdua hanya mampu berdoa semoga hati ibu terbuka untuk menerima isteri saya sebagai menantunya,” kata Din.

Kak Ani tak dapat bayangkan betapa sukarnya Din menjaga hati dua insan bernama wanita. Di sebelah kanannya, seorang ibu yang bersusah payah mengandung, melahirkan, membesarkan dan mendidik sehingga menjadi insan sempurna. Di sebelah kiri pula ialah isteri yang berkongsi hidup selepas dimeterai ikatan perkahwinan. Isteri inilah yang bakal mengembangkan zuriat Din pada masa hadapan.

Cara Din bertarik tali dengan ibu dan isteri sekarang memang ada kebaikannya, tetapi untuk berapa lama permainan ini akan berlangsung? Kak Ani tak tahu siapa yang akan penat nanti.

Ada cara untuk mendekatkan dua insan yang belum kenal mengenali. Dalam keadaan sekarang, Din adalah orang tengah yang perlu memainkan peranan utama.

Kak Ani pernah dengar daripada ceramah ustaz, kita boleh berbohong jika ia bertujuan menyatukan dua pihak yang bermusuh.

Walaupun isteri Din tiada sekelumit perasaan untuk bermusuh dengan ibu mentua, tetapi cara ibu membuat tohmahan terhadap perkahwinan baru Din, sudah mencetuskan konflik yang membuatkan Din berada dalam keadaan serba salah.

Din boleh memulakan langkah dengan menyampaikan salam isteri kepada ibu. Seseorang Islam yang beriman wajib menjawab salam itu.

Cara kedua ialah meminta isteri memasak makanan kesukaan ibu dan membawanya ke rumah ibu. Jika tindakan ini belum menunjukkan perubahan, Din cuba pula dengan cara membawa buah tangan dari isteri.

Di sini Din secara tidak langsung sudah mendidik isteri untuk menghormati ibu mentua.

Jika ibu ada ke surau untuk bersembahyang jemaah atau menyertai sebarang aktiviti keagamaan, Din boleh pujuk isteri untuk menyertai kegiatan itu semoga ia akan menjadi titik permulaan perkenalan antara isteri dan ibu.

Kak Ani percaya apabila ibu dan isteri berada dalam satu majlis keagamaan, mereka pasti akan bersalaman dan ini menyemai bibit ikatan persaudaraan sesama Islam. Sedangkan orang lain yang tidak hubungan kekeluargaan, tetapi jika sering duduk bersama dalam majlis keagamaan, pasti akan mewujudkan hubungan mesra sebagai saudara sesama Islam.

Kak Ani amat kagum dengan isteri Din yang bersedia untuk menemui ibu Din. Apa kata Din ketepikan dulu perasaan prejudis Din terhadap ibu dengan menunaikan hasrat isteri untuk bertemu ibu. Din dan isteri kena ada sikap tawakal kerana dengan bergantung kepada Allah, Dia pasti membuka jalan untuk melembutkan hati insan yang keras.

Kalau Hari Raya Puasa baru-baru ini, Din tidak sempat menyatukan mereka, masih ada lagi Aidiladha untuk Din pertemukan mereka berdua. Sesuai dengan pengertian Hari Raya Korban, inilah masanya Din perlu berkorban demi kebaikan dua insan yang amat Din sayangi.

Sebenarnya banyak cabaran dihadapi oleh mereka yang menumpang kasih dengan seorang lelaki bergelar duda. Selain cinta yang dimiliki adalah yang kedua, isteri baru kena tahu bagaimana menambat hati ibu mentua serta keluarga sebelah suami.

Kehadiran isteri baru biasanya menimbulkan banyak persoalan. Sesetengah kerabat ada yang membuat andaian sendiri bersandar faktor luaran dan khabar angin. Fitnah memfitnah, umpan mengumpat menjadi `makanan’ harian masyarakat yang sengaja menduga rumah tangga yang baru dibina itu.

Pada pandangan Kak Ani, ibu Din sebenarnya tidak dapat menerima hakikat Din sudah menceraikan isteri pertama.. Mungkin bagi ibu Din, isteri dulu adalah yang terbaik atau mungkin ia calon menantu pilihan ibu Din sendiri. Memang tidak sama perkahwinan pertama dengan perkahwinan kali kedua. Bagi sesetengah orang cinta pertama antara teruna dan dara sukar dilupakan.

Masa Din hidup menduda, ibu mungkin tidak terfikir langsung, Din akan mengambil masa singkat untuk menemui cinta baru.

Jika Din sudah ada anak dengan isteri pertama, ibu mungkin mengharapkan untuk melihat Din kembali ke pangkuan isteri kerana baginya zuriat adalah penghubung kasih sayang isteri dan suami.

Namun harapan ibu tiba-tiba berkecai apabila Din mengambil keputusan berkahwin dengan gadis lain. Tindakan Din itu pasti mengguris hati ibu. Mungkin juga Din ada buat silap tidak berbincang dengan ibu ketika memilih isterinya sekarang.

Walau apapun andaian yang kita buat, semua sudah berlalu seperti kata pepatah nasi sudah menjadi bubur. Din dan Mina sudah menjadi suami isteri yang sah.

Ibu Din patut terima hakikat sebenar dan sedar syariat Islam yang menitikberatkan perkahwinan ditegakkan sebagai satu ibadat dan mampu mendekatkan diri dengan Allah. Perkahwinan dibuat atas keinginan untuk memenuhi tuntutan syariat dan Sunnah Rasulullah.

No comments:

Post a Comment