nuffnang

LIKE ME

Thursday, 21 June 2012

Trauma dosa silam

| Trauma dosa silam

 pix_gal0Saudara baru bimbang dicerai suami kerana lahir anak tak sah taraf

MEMILIKI suami yang baik memang idaman semua wanita. Kalau ditanya apakah ciri-ciri lelaki yang mahu dijadikan suami, ramai wanita inginkan lelaki yang baik, beriman dan tahu tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Kalau suami itu turut memiliki wajah yang kacak, sesetengah wanita itu menganggap ia sebagai bonus.

Bagi Insan Dilema, walaupun bersyukur memiliki suami yang baik, tetapi masih ada keresahan di dalam hati gara-gara kisah silam yang menjadi rahsia hidup.
Berikut catatan Insan Dilema dalam e-melnya kepada Kongsi Rasa: “Saya berumur 24 tahun dan berkahwin dengan lelaki yang saya cintai pada Mei lalu. Saya amat menyayangi suami saya, begitu juga dengannya. Banyak pengorbanan suami bagi mendidik saya menjadi Muslimah yang baik selepas mengenali Islam.

“Sebelum berkahwin, sekitar tiga tahun lalu, saya seorang yang hanyut dalam kehidupan sosial tidak terkawal sehingga terlanjur mengandung anak luar nikah hasil hubungan saya bersama bekas teman lelaki saya selama dua tahun.

“Pada Mei 2009, saya sudah melahirkan anak tak sah taraf, tetapi meninggal dunia ketika dilahirkan. Saya bersalin sendirian di rumah kerana takut diketahui keluarga. Ketika hamil anak itu tiada anggota keluarga menyedari perubahan diri saya. Saya juga tidak merujuk mana-mana hospital selepas bersalin. Saya hanya merawat diri saya sendiri berpandukan buku perubatan yang saya beli dan baca.

“Walaupun tidak berdepan masalah besar, emosi saya begitu terganggu selepas bersalin anak tak sah taraf. Saya begitu menyesal di atas keterlanjuran saya. Saya sedar sudah melakukan kesalahan besar dalam hidup. Dosa berzina dan melahirkan anak tak sah taraf membuatkan saya trauma sehingga kini.
“Saya akhirnya mengambil keputusan berpisah dengan bekas teman lelaki saya untuk menjalani kehidupan baru.

“Setahun selepas hidup bersendirian, saya bertemu dengan suami saya sekarang. Dia banyak mengajar saya mengenai agama Islam dan saya amat bersyukur kerana diberi hidayah dan peluang kedua untuk hidup sebagai seorang Muslim sejati.

“Selepas mendapat bimbingan suami, saya baru sedar betapa indahnya agama Islam yang saya anuti itu.

“Suami saya tahu zaman silam saya yang bebas tetapi dia tidak tahu saya pernah melahirkan anak luar nikah. Saya takut jika saya tidak dapat memberikan zuriat kepada suami.

“Saya juga takut untuk mengandung lagi kerana bimbang rahsia terbongkar. Adakah perlu untuk saya berterus-terang kepada suami saya mengenai kejadian hitam yang saya alami? Saya takut dia tak dapat menerima dan akhirnya perkara ini akan menghancurkan rumah tangga kami, sedangkan saya benar-benar sudah insaf,” katanya menutup bicara.

Kak Ani bersyukur kerana Insan Dilema mendapat peluang kedua membina hidup baru. Memang sukar untuk Kak Ani bayangkan liku-liku perjalanan hidup yang Insan Dilema lalui, tetapi itulah keunikan Islam yang mana .

Tuhan begitu menyayangi setiap insan yang menyedari kesalahan dilakukan dan bersedia untuk bertaubat. Perkenalan Insan Dilema dengan suami sekarang adalah pembuka jalan bagi membetulkan tanggapan Insan Dilema terhadap agama yang baru dianuti, gara-gara perbuatan teman lelaki terdahulu yang tidak kuat pegangan agamanya. Kak Ani minta Insan Dilema lupakan pengalaman pahit daripada ingatan.

Tumpukan sepenuh perhatian kepada kehidupan sekarang bersama suami yang bersedia membimbing Insan Dilema ke jalan yang benar. Sebenarnya seseorang lelaki dapat mengagak sama ada wanita yang dikahwini itu dara atau tidak pada kali pertama dia bersama isterinya.

Seperti yang Insan Dilema jelaskan, suami tahu mengenai kehidupan sosial Insan Dilema sebelum ini, tetapi suami tetap menerima anda sebagai isteri seadanya. Ini bermakna suami menerima setiap kekurangan yang ada pada diri anda.

Insan Dilema tak usah curiga dengan keikhlasan hati suami, yang penting anda patut buat ialah menghargai kasih sayang suami itu dengan menjalankan tanggungjawab ikhlas sebagai isteri salihah.

Ingatlah tanggungjawab besar lelaki untuk mendidik isteri seperti termaktub dalam surah An-Nisaa ayat 34 yang bermaksud:

“Golongan lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap golongan perempuan, oleh kerana Allah SWT sudah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

Maka perempuan yang salih itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya. Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.”

Selain bimbingan suami, Insan Dilema perlu berusaha meningkatkan ilmu agama dengan menyertai pengajian yang boleh didapati di surau dan masjid dan mencari kawan yang boleh membimbing anda menjadi seorang Muslim yang baik.

No comments:

Post a Comment