Kesan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) boleh bawa padah
GOLONGAN dewasa yang normal bernafas lebih dari 20,000 kali sehari. Namun, cuba bayangkan, setiap kali menarik dan menghembus nafas, anda umpama bergelut dengan nyawa akibat saluran udara yang sempit.
Ada sesetengah kes pesakit COPD hidup di kediaman yang dipenuhi asap
dari dapur memasak atau asap dari alat pemanas yang digunakan untuk
memanaskan rumah. - Prof Dr Roslina Abdul Manap, Presiden Persatuan
Thoracic Malaysia
Ramai mungkin tidak pernah mendengar atau mengetahui apa itu COPD
berbanding asma atau bronkitis. COPD sering dikaitkan dengan tabiat
merokok tegar, udara yang tercemar serta terdedah pada persekitaran
kerja tertentu hingga berlakunya sekatan pada laluan udara paru-paru.
Situasi ini menyebabkan pesakit tercungap-cungap akibat sesak nafas.
Tidak hairanlah, lama kelamaan individu yang mengalami keadaan ini
menjadi tidak aktif.Mengikut perangkaan, COPD menjejaskan 210 juta orang di seluruh dunia malah dijangka menjadi penyebab ketiga tertinggi kematian pada 2020. Merokok adalah penyebab utama COPD, dengan perokok wanita sebanyak 13 kali manakala perokok lelaki 12 kali lebih cenderung mati akibat COPD berbanding mereka yang bukan perokok.
Namun, merokok bukan satu-satunya punca COPD. Faktor lain termasuk terdedah kepada asap atau pencemaran luaran mahupun dalaman, juga boleh meningkatkan peluang menghidap COPD.
Ada antara pesakit COPD dijangkiti penyakit itu akibat terlalu lama berada di persekitaran berdebu dan berasap. Persatuan Thoracic Amerika Syarikat melaporkan, terdedah kepada amalan kerja menyumbang 10 hingga 20 peratus kepada gejala atau kegagalan fungsi yang konsisten dengan COPD.
Presiden Persatuan Thoracic Malaysia, Prof Dr Roslina Abdul Manap, COPD lazimnya dihidapi lelaki tetapi kini turut menjejaskan wanita.
“Ini disebabkan peningkatan dalam penggunaan tembakau dan risiko tinggi terdedah kepada pencemaran dalaman seperti bahan api pejal yang digunakan untuk memasak dan memanaskan makanan.
“Ada sesetengah kes pesakit COPD hidup di kediaman yang dipenuhi asap dari dapur memasak atau asap dari alat pemanas yang digunakan untuk memanaskan rumah,” katanya kepada kolum Sihat.
Prof Roslina yang juga Ketua Unit Respiratori Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berkata, gejala COPD paling lazim ialah mencungap atau sesak nafas; kahak luar biasa; batuk kronik; nafas berdehit (wheezing) dan dada ketat.
“Kadangkala, aktiviti rutin dan mudah seperti berjalan menaiki atau menuruni tangga lama kelamaan boleh menjadi sesuatu yang menyusahkan,” katanya.
Beliau berkata, COPD didiagnosa menggunakan ujian ringkas dikenali sebagai spirometri yang berfungsi mengukur kekuatan pernafasan (menarik dan menghembus) serta selaju mana ia dihembus keluar.
“Malangnya kebanyakan pesakit COPD terlepas proses diagnosa atau tidak diuji dengan sempurna hingga penyakit itu bertambah parah,” katanya.
Prof Roslina berkata, pakar perubatan hanya menjalankan ujian spirometri apabila pesakit menunjukkan tanda seperti batuk kronik, menghasilkan kahak, Dyspnea (sesak nafas), terdedah terlalu lama kepada asap tembakau, habuk dan bahan kimia di tempat kerja serta asap dari aktiviti di rumah.
Beliau berkata, akibat kebanyakan pesakit cenderung mengaitkan gejala COPD dengan tabiat merokok dan usia yang meningkat, mereka mengabaikan pemeriksaan kesihatan hingga keadaan bertambah parah. Akibatnya ketika diagnosa dilakukan, lebih 50 peratus fungsi paru-paru mengalami kegagalan.
“Walaupun COPD tidak boleh sembuh sepenuhnya, ia boleh dirawat dan dicegah, jadi sasaran utama rawatan adalah untuk mengurangkan gejala dan mengelak komplikasi atau mengawal dari melarat dengan kesan sampingan minimum,” katanya.
Beliau berkata, ubat Bronchodilators yang menenangkan dan membuka laluan udara dalam paru-paru memainkan peranan penting dalam menguruskan gejala COPD.
“Kebanyakan bronchodilators diambil menggunakan alat sedut. Bergantung kepada betapa teruk penyakit yang dihidapi, tidak kira cepat atau lambat tindak balasnya, sedutan bronchodilator mungkin akan diberi,” katanya.
Prof Roslina berkata, bronchodilators sedut yang cepat tindak balasnya iaitu dalam tempoh 15 hingga 20 minit serta mampu bertahan dari empat hingga enam jam boleh membantu mengurangkan cungap malah dikenali sebagai ubatan penyelamat.
Menurutnya, bronchodilators yang lambat kesannya digunakan setiap hari bagi membuka laluan udara dan memastikan ia terbuka sehingga 12 jam malah dalam kes tertentu sehingga 24 jam.
“Rawatan COPD merangkumi sama ada satu ubat atau kombinasi beberapa ubat dalam satu alat sedut seperti bronchodilators, corticosteroid, kombinasi bronchodilators, atau kombinasi bronchodialators dan corticosteroid.
”Selain itu, COPD juga boleh dirawat dengan antibiotik, terapi oksigen, pemulihan pulmonari dan pembedahan,” katanya.
Beliau berkata, vaksin kegagalan paru-paru (pneumonia) dan influenza juga perlu diberi kepada pesakit COPD.
Kesimpulannya, pesakit COPD perlu mengubah gaya hidup dengan mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam, berhenti merokok dan jauh dari sebarang bentuk pencemaran.
Ubah gaya hidup selepas diserang COPD
“SAYA menyesal kerana terlalu mengikut hati dan degil untuk berhenti merokok. Sekarang, bukan saja penyakit ini menyusahkan diri, keluarga serta rakan-rakan, malah amat membebankan dari segi kewangan,” luah hati Lau Swe Teng, 66, yang menghidap COPD sejak 11 tahun lalu.
Cerita Lau yang berasal dari Morib, Selangor, beliau mula merokok sejak di bangku sekolah dan tabiat itu sukar ditinggalkan sehingga Februari 2001 apabila terasa dadanya sempit dan sukar bernafas.
Bimbang melihat keadaan Lau yang agak tenat, keluarganya terus membawa ke hospital dan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
Selepas insiden pertama itu, Lau yang juga bapa kepada dua cahaya mata mula menyesuaikan diri sambil belajar mengenali karakter penyakitnya itu. Pada awalnya, Lau masih lagi berdegil mengikut sepenuhnya nasihat doktor.
“Tetapi selepas disahkan menghidap COPD, saya belum berhenti merokok sepenuhnya, malah pemakanan juga masih mengikut selera.
“Namun, serangan makin kerap dan kebanyakan insiden berlaku bukan saja di rumah tetapi juga ketika berada bekerja. Pernah suatu hari, ia menyerang ketika saya sedang membeli keperluan dapur bersama isteri di mana saya tiba-tiba rebah.
“Bayangkan, betapa susahnya hati isteri dan keluarga akibat kedegilan saya selama ini,” ceritanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan alat sedut Onbrez Breezhaler keluaran Novartis Corporation (Malaysia) Sdn Bhd di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bukan itu saja, Lau pernah panik apabila diserang COPD ketika sedang mengendalikan mesyuarat dengan rakan perniagaan.
Cerita Lau, apabila berhadapan penyakit kronik begini, keputusan memilih pusat rawatan yang tepat amat penting. Walaupun Lau memiliki skim perlindungan insuran kesihatan, ia masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kesihatan sepanjang 11 tahun menghidap COPD.
Malah, wang simpanannya terpaksa digunakan untuk menampung kos perubatan yang tinggi - begitulah beban kewangan yang perlu ditanggung selain kesan terhadap emosi dan psikologi Lau sekeluarga.
“Selepas pengalaman mendapatkan rawatan di beberapa hospital, akhirnya saya dirujuk kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan terus mendapatkan rawatan lanjut di Institut Perubatan Respiratori (IPR).
“Saya bertuah dan sangat bersyukur kerana selepas mendapat bantuan pakar dan staf terbaik di pusat berkenaan, serangan penyakit ini makin berkurangan dan boleh dikawal dengan ubat-ubatan termasuk alat sedut. Malah, saya sendiri sudah mula mengubah gaya hidup dan berhenti merokok.
“Kini saya seperti orang biasa, boleh bekerja dan menjalani rutin harian tanpa rasa bimbang. Walaupun sesekali masih diserang COPD jika tidak menjaga pemakanan atau minum ais, namun ia masih terkawal dan tidak serius.
“Ternyata pengambilan ubat yang teratur selain mendengar nasihat doktor sangat membantu proses pemulihan kerana COPD boleh dirawat,” katanya.
Lau berkata, mesej dan kesedaran mengenai COPD sangat penting kepada masyarakat kerana melalui pengalaman berjumpa pesakit COPD di hospital dan di tempat lain, kebanyakan orang tidak tahu bahaya COPD kepada perokok dan kaedah rawatan terbaik mengatasinya.
“Orang ramai perlu tahu bahawa COPD amat menyusahkan diri pesakit, keluarga dan rakan-rakan. Cuba bayangkan azabnya keadaan apabila anda hanya mampu menarik nafas tetapi sukar untuk menghembuskan keluar akibat laluan udara yang sempit.
“Nasihat saya, sekiranya anda dan ahli keluarga menghidap penyakit ini cepatlah berjumpa pakar, dengarlah nasihat mereka dan cubalah untuk berubah kerana COPD bukan saja boleh dikawal tetapi boleh diubati,” katanya.
Lau kini lebih selesa mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif dengan berjalan selama sejam setiap pagi, mengamalkan diet seimbang, mengelak minuman sejuk dan makanan yang terlalu pedas serta tidak mengangkat bebanan
No comments:
Post a Comment