MINGGU lalu saya berkongsi pandangan mengenai kerajinan sebagai asas kejayaan. Rentetan daripada itu, sering kali tanpa kita sedar kerajinan dalam kalangan pekerja tidak diurus dengan baik sehingga kerajinan pekerja tidak benar-benar membuahkan hasil diinginkan.
membangunkan modal insan di tempat kerja, usaha bukan sekadar
membangunkan sahsiah melalui penerapan nilai murni tetapi menguruskannya juga
mesti diberi perhatian. Usaha ini dapat mengekalkan momentum kerajinan sekali
gus menjadikan pekerja rajin sebagai model.
Setiap nilai yang berjaya
diterapkan perlu diurus atau dipelihara majikan dengan baik supaya ia terus
berkembang, konsisten dan tidak pula sehingga membawa kemudaratan.
Justeru, membangunkan modal insan di tempat kerja, usaha bukan sekadar membangunkan sahsiah melalui penerapan nilai murni tetapi menguruskannya juga mesti diberi perhatian. Usaha ini dapat mengekalkan momentum kerajinan sekali gus menjadikan pekerja rajin sebagai model.
Memastikan kerajinan pekerja berterusan dan benar-benar membawa kebaikan hendaklah berdasarkan 3K iaitu keperluan, keutamaan dan kualiti kerja yang ditetapkan. Ketiga-tiga dasar ini akan memandu kerajinan supaya apa dilaksanakan menepati matlamat dan tiada kerja lebih utama terabai.
Keperluan kerja boleh ditentukan melalui matlamat, kepentingan jangka pendek dan jangka panjang organisasi yang ingin dicapai serta keperluan bertujuan mengelakkan kemudaratan. Kerajinan tanpa matlamat jelas tidak akan menghasilkan pencapaian dan menjadikan kerja sia-sia kepada organisasi.
Islam menekankan aspek keperluan supaya kerajinan yang ada, diurus dan diletakkan pada tempat yang sesuai dan membuahkan kejayaan antaranya mengikut pandangan Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam fiqh al-Awlawiyyat dan Imam Ibn Abd Al-Salam dalam Qawaid al-Ahkam.
Keutamaan kerja bagi perempuan turut ditekankan dalam Islam supaya umat Islam memahami apa yang perlu didahulukan atau dikemudiankan dalam beramal.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Iman itu mempunyai lebih daripada tujuh puluh pertingkat; yang paling tinggi antaranya ialah La ilaha illa Allah, dan yang paling rendah ialah membuang penghalang yang ada di jalan.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Selain menunjukkan amalan yang kecil pun termasuk sebahagian daripada iman, hadis ini juga boleh menunjukkan tahap iman berdasarkan keutamaan beramal.
Dari aspek keutamaan ini, pertimbangan kerajinan bekerja boleh dibuat dengan melihat kepada tempoh masa diperuntukkan, sulit atau mudahnya tugasan, kemaslahatan pelanggan dan organisasi, keuntungan atau kerugian.
Sebagai umat Islam, penumpuan kepada aspek keutamaan ini dipelajari melalui pelaksanaan kewajipan ditetapkan berdasarkan hukumnya sama ada wajib, sunat, makruh, harus dan haram. Kesemua kategori hukum menunjukkan keperluan, kepentingan, keutamaan, kualiti suruhan, amalan dan larangan.
Kerajinan juga perlu dipandu ke arah kualiti supaya ia tidak sekadar melaksanakan tugasan dengan cepat tetapi secara cuai dan sambil lewa. Dengan kata lain, hasil kerjanya tidak sempurna, memuaskan dan menepati standard ditetapkan.
Sedangkan Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang apabila dia melakukan sesuatu dia melakukannya dengan sebaik-baiknya.” (Hadis riwayat Imam al-Baihaqi)
Justeru, penekanan dalam bekerja bukan saja kerja keras tetapi kerja secara cekap. Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’, ‘alang-alang berdakwat, biarlah hitam” menunjukkan pentingnya sesuatu kerja itu ditunaikan dengan sempurna.
Amalan Islam amat menitikberatkan kualiti seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila saya memerintahkan sesuatu perkara kepada kalian, maka lakukanlah semampu kalian.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Kerajinan yang membawa kepada kemudaratan diri perlu dikategorikan sebagai kerajinan tidak berkualiti kerana Rasulullah mengingatkan: “Jauhilah kalian sikap berlebih-lebihan (dalam melakukan ibadat).” (Hadis riwayat imam al-Nasa’i)
Kerajinan tanpa hasil berkualiti menyebabkan kerja dan nilai diri pekerja itu tidak dihargai organisasi. Ini perlu dielakkan berlaku kerana apabila kerajinan tidak dihargai ia akan membantutkan nilai kerajinan itu sendiri.
Walaupun rajin adalah tabiat, jika tidak dihargai, lama kelamaan sekali pun individu yang rajin tidak berminat meneruskan usahanya. Justeru, marilah kita memastikan nilai kerajinan yang dibaja diletakkan pada tempatnya serta diurus dengan baik sebagai jaminan kualiti kejayaan organisasi.
Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
No comments:
Post a Comment