Rasulullah s.a.w pernah memberitahu puteri kesayangannya Fatimah,
bahawa beliau bukanlah wanita pertama yang akan masuk ke syurga. Hal itu
sangat membuatkan Fatimah berasa dukacita dan cemburu lalu beliau pun
bertanya kepada Rasulullah apakah amalan wanita tersebut sehingga beliau
layak untuk menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga. Rasulullah
s.a.w memberitahu kepada puterinya itu supaya beliau pergi ke rumah
wanita itu dan melihat sendiri amalan wanita tersebut.
Lalu, Fatimah pun bersiap-siap untuk pergi ke rumah wanita yang
dimaksudkan oleh Rasulullah itu. Pada kali pertama kedatangannya ke
rumah wanita yang bernama Siti Muti'ah itu, Fatimah tidak dibenarkan
masuk kerana suami wanita tersebut tiada di rumah dan beliau tidak
mendapat keizinan daripada suaminya untuk membenarkan tetamu masuk.
Maka, Fatimah pulang kembali ke rumahnya dan akan datang semula ke
rumah tersebut pada keesokan harinya. Pada hari berikutnya, Fatimah
datang kembali dengan membawa dua orang puteranya, Hassan dan Hussin.
Malang lagi menimpa Fatimah kerana Siti Muti'ah tidak membenarkan
Fatimah masuk ke rumahnya kerana beliau hanya meminta izin dari suaminya
supaya Fatimah seorang sahaja yang boleh masuk ke rumahnya manakala
Hassan dan Hussin tidak boleh masuk tanpa kebenaran suaminya. Sekali
lagi Fatimah pulang dengan perasaan hampa kerana tidak dapat melihat
amalan wanita tersebut.
Pada hari yang ketiga barulah Fatimah diizinkan masuk ke dalam rumah
Siti Muti'ah. Pada pandangan Fatimah setelah pertemuannya dengan Siti
Muti'ah, tiada apa-apa yang istimewa pada wanita tersebut yang
melayakkan beliau menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga. Sedang
asyik Fatimah berbual dengan Siti Muti'ah, tiba-tiba Siti Muti'ah bangun
dari duduknya dan segera bersiap-siap membuatkan Fatimah kehairanan.
Rupa-rupanya wanita tersebut menyiapkan dirinya untuk menyambut
kepulangan suaminya.
Sewaktu menyambut kepulangan suaminya, Siti Muti'ah menyediakan air
dan menghidangkan sedikit makanan untuk suaminya. Beliau juga dilihat
menyediakan sebuah tongkat yang akan digunakan oleh suaminya bagi
menghukum Siti Muti'ah sekiranya didapati beliau melakukan kesalahan
sepanjang pemergian suaminya. Siti Muti'ah juga memakai pakaian yang
menarik untuk menghiburkan suaminya.
Setelah melihat adegan itu, Fatimah pulang dengan perasaan yang cukup
kagum dan terharu dengan layanan yang sangat istimewa yang diberikan
oleh Siti Muti'ah terhadap suaminya. Fatimah terus mendapatkan
ayahandanya Rasulullah s.a.w dan menceritakan tentang peristiwa yang
dilihatnya di rumah Siti Muti'ah. Dengan penuh rasa rendah diri, Fatimah
memberitahu kepada Rasulullah bahawa sememangnya Siti Muti'ah
sememangnya layak untuk menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga
kerana ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada suaminya itu.
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment