Apakah kita sudah bersedia bertemu Ramadan yang sangat ditunggu-tunggu sekalian umat Islam? Syaaban adalah masa untuk kita mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai persediaan dan latihan menyambut Ramadan.
Sesiapa yang menyebarkan fitnah dan permusuhan tidak akan ke
syurga. - Riwayat Muslim dari Huzaifah
Ketika Rasullah SAW berkiblatkan
Baitulmaqdis (Masjidil Aqsa), kaum Yahudi menyebarkan propaganda bahawa
kebenaran berada di pihak mereka kerana umat Islam sudah meniru agama mereka
berkiblatkan Baitulmaqdis.Ini menyebabkan Baginda SAW merenung jauh bagi memikirkan perkara itu maka turun firman Allah yang bermaksud: “Sering kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad) mendongak ke langit memikirkannya, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu berpalinglah mengadap Masjidilharam (Makkah) dan di mana saja kamu berada, maka hadapkanlah wajahmu ke arahnya. Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani mengetahui benar akan kisah perpindahan kiblat ini adalah perintah dari Allah dan Allah sekali-kali tidak akan lalai terhadap apa yang mereka lakukan.” (Surah al-Baqarah, ayat 44)
Baginda SAW paling banyak mengerjakan puasa sunat pada Syaaban berbanding bulan lain. Walaupun banyak hadis kedudukannya lemah dalam menyatakan fadilat Syaaban, hakikatnya, amalan Baginda SAW menunjukkan Syaaban antara bulan dimuliakan Allah SWT. Jika tiada bulan baik di sisi Allah SWT, masakan ada bulan diharamkan Allah SWT untuk berperang.
Syaaban juga terdapat satu malam yang penting iaitu malam Nisfu Syaaban. Allah SWT sudah memberikan kelebihan dengan keampunan kepada hamba-Nya. Sabda Rasul SAW daripada Abu Hurairah: “Allah SWT mengamati makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban seterusnya mengampunkan mereka kecuali mereka yang syirik dan melakukan permusuhan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Kesempatan yang terhidang pada Syaaban ini haruslah dimanfaatkan sebagai satu usaha untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT termasuk puasa dan qiamullail.
Ini ibadat yang diberi keutamaan Baginda SAW. Baginda juga memfokuskan kepada 15 terakhir Syaaban untuk berpuasa sunat. Solat tahajud dan solat taubat haruslah ditekankan khususnya pada malam nisfu.
Ikatan silaturahim mesti disegarkan semula kerana sikap permusuhan akan mengundang sia-sia kepada ibadat kita. Hati mestilah disucikan daripada perasaan benci dan dendam serta melakukan fitnah supaya dapat merasai kemanisan beribadat di bulan Ramadan yang dipenuhi keberkatan.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebarkan fitnah dan permusuhan tidak akan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim dari Huzaifah)
Beristiqamah dalam ibadat juga mestilah dipelihara kerana ia dapat melonjakkan kualiti ibadat walaupun kuantiti ibadat dilakukan dengan kadar sedikit. Munajat keampunan juga haruslah diperbanyakkan kerana dosa dan kesalahan kita semakin bertambah disebabkan semua pancaindera dipergunakan pada setiap masa.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah kamu memohon keampunan kepada Tuhanmu dan hendaklah kembali taat pada-Nya supaya kamu mendapat nikmat dan rahmat di dunia dan akhirat.” (Surah Hud, ayat 3)
Syaaban bulan tarbiyah untuk mendidik jiwa dengan melakukan ibadat penuh ketaatan dan keikhlasan. Kekuatan yang dijana pada Syaaban akan menghasilkan kesan positif terhadap ibadat Ramadan.
Segala dosa akan terampun jika terdapat unsur kesungguhan dan istiqamah dalam melakukan ibadat. Sifat mazmumah seperti dengki dan khianat akan terhakis dengan amalan kebajikan yang semakin bertambah. Rebutlah peluang Syaaban untuk merealisasikan Ramadan.
No comments:
Post a Comment