Allah, Astaghfirullah.
Aku seolah-oleh baru tersedar dari mimpi. Mindaku seolah-olah baru
bangun dari kelalaian yang lama. Aku sangat-sangat bersyukur kerana Dia
masih menginginkan aku untuk berubah menjadi lebih baik. Menginginkan
aku kembali merujuk kepada-Nya dalam melayari kehidupan ini.
Kedatangan rakanku bersama rakannya yang tidak aku kenali,
benar-benar memberi hidayah kepadaku. Sememangnya rakan perempuanku itu
telah memberitahu untuk datang ke rumahku pada hari itu. Setelah
mendapat izin suamiku, aku pun menerima kedatangannya. Namun tidak
disangka dia membawa seorang lagi kawan perempuannya yang tidak pernah
aku kenal sebelum ini. Aku tidak tahu bagaimana hendak menolak kehadiran
tetamu baruku itu kerana aku belum meminta izin suamiku. Inginku
menelefon atau menghantar sms pada masa itu di hadapan tetamu, terasa
tidak sesuai. Apa yang perlu aku lakukan? Hati aku berdolak-dalik.
Sekiranya aku menjemput dia masuk, berdosa kah aku kerana tidak meminta
izin suamiku dahulu? Kalau aku tidak menerima kehadirannya, apa pula
perasaannya? Bagaimana kendak ku terangkan kepada tetamuku? Bukan aku
tak sudi tetapi, aku tersepit antara adat dan tuntutan. Masya-Allah,
sesungguhnya tuntutan adat sememangnya selalu bercanggah dengan tuntutan
agama.
Otakku ligat membuat keputusan, yang akhirnya aku terpaksa
membenarkan tetamu-tetamu ku masuk. Di dalam hatiku, hanya Allah yang
tahu betapa rasa bersalahnya aku kerana mengizinkan orang lain masuk ke
rumah tanpa izin suamiku. Pada masa itu juga aku telah bertekad untuk
memohon maaf kepada suamiku bila pulang dari kerja. Semoga suamiku faham
situasiku pada masa itu. Amin.
Ternyata, kedatangan kawanku bersama rakannya, ada hikmahnya dan
memberi hidayah kepada aku. Selama ini aku sememangnya telah bertekad
untuk berhenti mengumpat atau berkata tentang orang lain sama ada orang
itu aku kenal atau pun tidak. Namun, bertahun telah berlalu, semakin aku
usaha, semakin banyak pulak dugaan yang menggalakkan aku terus
mengumpat tanpa tahu cara untuk mengelaknya. Tambahan pula jiran-jiranku
terdiri daripada wanita-wanita yang sama sikapnya, iaitu mengumpat.
Ya Allah, setiap kali aku bersembang dengan jiranku, mengumpat itu
mesti ada. Fitnah, entahlah. Aku pun tidak tahu. Aku yang tidak tahu
apa-apa cerita tentang orang di sekitar aku kerana aku sememangnya tidak
mempunyai ramai kawan, akan menjadi tahu hanya dengan bersembang
bersama jiran-jiranku. Sama ada ceritanya benar atau tidak hanya Allah
yang tahu. Setiap kali aku masuk ke rumah setelah habis bersembang, aku
akan rasa bersalah sendiri. Aku memohon ampun kepada-Nya kerana
mengumpat, namun ia berulang kembali. Aku belum mempunyai kekuatan untuk
berubah. Aku sering mengingatkan diriku dengan sering membaca buku-buku
azab Allah kepada sesiapa yang mengumpat supaya aku boleh berubah.
Tetapi, itulah tipu daya syaitan laknatullah. Semakin kita berusaha
untuk berubah, semakin kuat hasutannya.
Dengan izin Allah, Dia mendatangkan aku seorang tetamu yang tidak ku
kenal, menceritakan masalahnya yang telah di burukkan oleh orang yang
dia kenal dan baik hubungannya dimana orang tersebut juga merupakan
salah seorang jiranku. Semakin dia bercerita, semakin banyak keburukan
orang tersebut terbongkar. Tiba-tiba aku tersedar.
Maha Suci-Mu Ya Allah, kalau kita selalu menceritakan keburukan
orang, Allah pasti akan membuka aib kita. Aku yang pada asalnya hanya
kenal sedikit tentang insan itu, menjadi semakin kenal dengan sikap
buruknya hanya dengan melalui cerita orang lain. Terbukti Allah telah
membuka aibnya kerana sikapnya yang suka menceritakan keburukan orang
lain.
Ia memberikan aku kesedaran dan keinsafan. Aku tidak mahu aibku di
buka oleh Allah SWT. Aku benar-benar insaf. Pada masa itu juga aku
bertekad untuk tidak mengumpat lagi. Azamku semakin kuat untuk berubah
walaupun aku tahu cabarannya banyak. Sebagai langkah permulaan, aku
menguatkan hati dengan berkata kepada kawan dan tetamu baruku itu agar
semua ceritanya itu cukuplah sampai di sini sahaja kerana aku tidak mahu
keaiban kita pula di buka oleh Allah.
Alhamdulillah, tetamu-tetamuku bersetuju. Begitulah halusnya cara
Allah, dan aku bersyukur kerana aku diberi petunjuk, hidayah dan
kekuatan untuk aku terus berubah. Sekarang ini, sekiranya aku
bersembang, aku membuat keputusan agar otakku mendengar juga apa yang
dituturkan oleh mulutku agar otakku boleh tapis dan menghalang agar aku
tidak mengumpat lagi. Aku juga seboleh daya cuba mengelak dari banyak
bercakap dan mengurangkan aktiviti suka bersembang bersama
jiran-jiranku.
Semoga usahaku akan berjaya kerana aku tidak mahu di hidangkan dengan daging manusia di akhirat nanti. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment