HARI ini 13 Mei - tarikh yang sangat sinonim dalam sejarah negara. Pada tarikh ini kira-kira 43 tahun lalu, berlaku peristiwa berdarah yang tidak mungkin dilupakan oleh seluruh rakyat terutama mereka yang mengalami sendiri peristiwa berdarah itu.
Lebih menyayat hati, ada antara mereka yang menyaksikan sendiri pertumpahan darah gara-gara perbalahan antara kaum itu, hilang keluarga dan tempat bergantung akibat tragedi itu.
Kesan langsung sudah tentulah huru hara, kebakaran, kematian, kecederaan dialami mereka yang terbabit dengan peristiwa itu yang menyaksikan angka kematian direkodkan seramai 196 orang dengan 439 orang lagi cedera, 39 orang hilang dan 9,143 individu ditahan. Pihak berkuasa juga merekodkan sebanyak 211 kenderaan musnah pada kejadian itu.
Namun, ada pihak mendakwa statistik itu tidak begitu tepat kerana orang ramai yang menjadi saksi kejadian menyatakan jumlahnya lebih ramai berdasarkan deretan lori membawa mayat yang tidak sempurna menuju ke beberapa balai polis sekitar ibu negara.
Kejadian itu juga menyebabkan pengisytiharan darurat oleh Yang Di-Pertuan Agong yang dibuat pada malam 16 Mei. Dengan pengisytiharan itu, Perlembagaan Persekutuan digantung. Negara diperintah secara terus oleh Yang Di-Pertuan Agong di bawah undang-undang tentera.
Darurat menjadikan ibu kota Kuala Lumpur seperti kota lama ditinggalkan, bergelap serta seakan berkabung atas kehilangan nyawa yang begitu banyak dalam satu masa.
Dalam masa yang sama ditubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dipengerusikan Tun Abdul Razak dan dianggotai beberapa pemimpin kanan negara. Malah pentadbiran negara dikendalikan hasil perkongsian kuasa tentera, polis, awam dan ahli politik. Berikutan itu, Parlimen juga digantung.
Sepanjang tempoh darurat, MAGERAN melakukan pelbagai tindakan untuk mencari punca dan penyelesaian supaya tragedi seumpama itu tidak berulang.
Antara tindakan yang diambil ialah membentuk satu Rukun Negara bagi meningkatkan kefahaman rakyat mengenai Perlembagaan Negara. Turut dilakukan ialah melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menyusun semula masyarakat dan menghapuskan pengenalan kaum dengan aktiviti ekonomi atau pekerjaan dan membasmi kemiskinan tegar serta pembangunan di kawasan luar bandar.
Selepas itu terbentuknya Barisan Nasional yang menggantikan Parti Perikatan yang bersifat sebagai sebuah kerajaan perpaduan. Hampir semua parti yang bertanding pada 1969 menyertai BN kecuali DAP dan PAS.
Kesan jangka panjang 13 Mei pula ialah luar bandar semakin maju dan tahap kemiskinan penduduk berkurangan dengan Amanah Saham Nasional dan Bank Bumiputera diperkenalkan. Institusi pendidikan seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pelbagai peluang lain juga diwujudkan bagi melahirkan golongan profesional dan cendikiawan tempatan.
Lebih utama, kerajaan juga menubuhkan Kementerian Perpaduan Negara yang kini dikenali Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bagi mengatasi masalah perpaduan kaum di negara ini.
Justeru, keamanan yang dikecapi kini hasil pemulihan perpaduan kaum dan penstrukturan semula masyarakat kesan peristiwa hitam itu perlu dipertahankan bukannya diperlekehkan atau dipandang sepi sehingga sanggup terbabit dalam pelbagai acara yang boleh menimbulkan huru hara seperti perhimpunan BERSIH, baru-baru ini.
Pakar sejarah yang juga Profesor di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Prof Datuk Ramlah Adam berkata beliau melihat generasi baru dan pemimpin sesetengah parti politik seakan lupa dengan peristiwa 13 Mei 1969 dan seakan tidak mahu mengambil iktibar daripada tragedi berkenaan.
Ramlah berkata, kini wujud golongan yang bertindak terlalu biadap dengan memainkan sentimen yang boleh mencetuskan huru hara seperti yang pernah tercetus pada 13 Mei 1969 serta semakin berani mendedahkan keburukan orang lain mahu pun kerajaan tanpa rasa segan silu.
“Orang Melayu pula saya lihat macam hilang kuasa dan keberanian malah semangat perpaduan mula terhakis, malah tiada lagi semangat mahu berjuang untuk bangsa. Hala tuju perjuangan parti juga semakin pudar. Contohnya PAS jika dulu mengkafirkan UMNO kerana kononnya bersekongkol dengan MCA dan MIC, kini parti itu beralih arah dan bekerjasama dengan DAP.
“Lebih menyedihkan saya, PAS yang memperjuangkan Islam, baru-baru ini mahu mengeluarkan agama Islam daripada Perlembagaan Negara sedangkan dulu perjuangannya mahu memartabatkan agama Islam dan menuduh Parti Perikatan sebagai tidak menjalankan Islam dengan baik,” katanya.
Beliau juga mahu generasi muda mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei supaya tidak beremosi dalam perjuangan sehingga meninggalkan jati diri sebagai rakyat negara ini.
“Tidakkah mereka melihat dalam tempoh 55 merdeka ini banyak sangat yang kerajaan sudah lakukan termasuk terlalu berkompromi dalam banyak hal yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara. Jangan biarkan banyak perkara dalam Perlembagaan Negara dilepaskan begitu saja kerana ia akan merugikan rakyat seluruhnya.
“Masyarakat kini tidak melihat sejarah untuk dijadikan panduan meneruskan kehidupan sebaliknya lebih suka mendengar cakap orang dan menerima fitnah serta menolak kebenaran dan sukakan benda anti kebenaran seperti menyokong kegiatan seks songsang oleh kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Seperti perhimpunan BERSIH baru-baru ini, saya nampak parti pembangkang mendidik masyarakat menolak undang-undang dengan sewenang-wenangnya memukul polis yang menjadi penguatkuasa undang-undang, dikhuatiri sikap anarki golongan ini dianggap satu kelemahan yang akan digunakan kuasa asing menjajah Malaysia,” katanya.
Info
Faktor serta merta berlakunya kejadian
Perarakan kemenangan parti pembangkang di Kuala Lumpur
Peristiwa ini berlaku berikutan pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969. Dr Tan Chee Khoon dari parti GERAKAN menang besar di kawasan Batu, Selangor. Beliau minta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti itu. Perarakan itu menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan hingga ke Jalan Campbell dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru sedangkan di Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu UMNO. Di sini letaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris.
Tindak balas orang Melayu pada perarakan kemenangan pilihan raya
UMNO mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini. Hal ini adalah kerana perasaan emosi yang tinggi dan kurangnya kawalan dari kedua-dua pihak. Perarakan ini tidak dirancang.
Orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar Selangor di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Harun selaku Menteri Besar Selangor ketika itu cuba mententeramkan keadaan
No comments:
Post a Comment