nuffnang

LIKE ME

Friday, 22 June 2012

Pesakit mental perlu perhatian masyarakat

Hidup bermasyarakat bantu individu hadapi tekanan hidup secara positif
JIKA disoroti kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan pelbagai kes bunuh diri dan cubaan membunuh diri. Lebih mengejutkan apabila ada golongan profesional seperti doktor dan peguam yang mengambil keputusan untuk bunuh diri dan ramai yang tidak dapat memahami kenapa jalan terakhir itu yang dipilih.
Belum lagi dikira dengan kes terminum racun dan terjatuh bangunan. Jika orang dewasa yang matang tidak dapat mengawal perasaan, apatah lagi remaja dan kanak-kanak. Semuanya dikaitkan dengan tekanan dan konflik hidup sebagai puncanya.

Tinjauan Kesihatan Mobiliti dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental. Statistik ini amat menakutkan, iaitu satu angka yang tinggi kerana menunjukkan seorang daripada enam (1:6) rakyat negara ini ada penyakit mental
Masalah mental adalah penyakit yang membabitkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik. Kini, masalah mental menjadi antara ancaman utama kepada seluruh penduduk dunia dan penduduk Malaysia khususnya.

Tinjauan Kesihatan Mobiliti dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental. Statistik ini amat menakutkan, iaitu satu angka yang tinggi kerana menunjukkan seorang daripada enam (1:6) rakyat negara ini ada penyakit mental.

Pada masa kini, masyarakat menganggap mereka mengalami masalah mental sebagai satu ancaman kepada keselamatan kerana media massa sering melaporkan pelbagai kes amuk, bunuh dan gangguan yang dilakukan mereka yang mengalami masalah mental.

Keadaan ini menyebabkan masyarakat membuat tanggapan negatif terhadap mereka yang mengalami masalah mental ini tanpa mengkaji sebab mereka berkelakuan sedemikian.
Ironinya, kita tidak didedahkan secara sepenuhnya mengenai penyakit mental ini. Masyarakat hanya memandang pesakit mental adalah orang ‘gila’. Tetapi jika diperhatikan kembali, hanya segelintir masyarakat yang mempunyai pengetahuan mengenai masalah mental dan sedia membantu pesakit mental.

Penulis ingin mengusulkan soal pendedahan pada peringkat sekolah memandangkan sekolah adalah medium terbaik dalam penjanaan ilmu pengetahuan serta memupuk sikap pelajar dan masyarakat.

Pesakit mental tidak seharusnya dipinggirkan masyarakat kerana mereka yang mengalami masalah mental mempunyai peluang untuk pulih dan menjadi sebahagian daripada masyarakat. Mereka sepatutnya diberi perhatian kerana ada dalam kalangan mereka mengalami tekanan hidup yang berat sehingga mereka cenderung menghidap masalah mental.

Oleh itu, setiap individu perlu mengubah perspektif negatif mereka terhadap pesakit mental dan memberikan sokongan yang diperlukan agar mereka tidak berasa terpinggir daripada kelompok masyarakat.

Bagi penulis, wujudnya 45 jabatan psikiatri di seluruh negara di samping empat hospital mental untuk pesakit mental menjalani rawatan pemulihan dengan sebaik mungkin tidak memberi erti jika sikap prejudis masyarakat menghalang pesakit untuk mendapatkan rawatan.

Di samping itu, penulis menyarankan Klinik Mental 1Malaysia perlu diwujudkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. Ketika ini kita hanya ada 233 pakar sakit jiwa seluruh Malaysia untuk penduduk hampir 30 juta. Nisbahnya ialah 0.8 pakar untuk 100,000 penduduk. Satu angka yang tidak masuk akal. Sesuatu perlu dilakukan segera.

Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) dan Majlis Agama sebagai tunggak pengurusan orang Islam di negara ini perlu proaktif dengan menubuhkan Unit Kaunseling berteraskan ‘online’ pada setiap kariah, daerah dan negeri. Perhatikan saja laman web mereka, ada yang tidak pernah dikemas kini berbulan-bulan lamanya.

Jika dibuat perbandingan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Befriender, mereka nampaknya lebih ke hadapan menangani isu ini sedangkan mereka hanya bergerak menerusi dana ‘sedekah’.

Bagi penulis, perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi penting kerana ia berperanan menyediakan ruang untuk mangsa tekanan mental meluahkan isi hati mereka. Kaunseling juga dapat memberikan nasihat agar membantu individu terbabit menyelesaikan masalahnya.

Kaunseling juga perlu diberikan kepada keluarga penyakit mental supaya mengurangkan tekanan mereka yang terpaksa menjaga pesakit. Jelaslah bahawa kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi adalah satu langkah yang penting dalam mengelakkan tekanan mental.

Bukan semua individu dapat menangani tekanan hidup dengan baik. Cara dan tahap seseorang menerima sesuatu tekanan adalah berbeza. Mungkin bagi individu A, masalah dihadapi individu B dianggap remeh, tetapi tidak bagi individu B. Begitulah juga sebaliknya.

Harus disedari bahawa prinsip suka menyendiri akan cenderung ke arah sakit mental. Menyendiri akan menyebabkan kita mudah mengikut rasa dan nafsu, apatah lagi kita akan mudah mengikut telunjuk syaitan.

Justeru, dalam hidup ini, kita perlu mempunyai hubungan yang akrab dengan keluarga dan rakan. Sedarlah kita perlu hidup bermasyarakat dan tidak perlu kita menjadi ‘kera sumbang’ kerana siapalah kita tanpa masyarakat. Marilah kita belajar hidup bermasyarakat.

Penulis ialah bekas Felo Kehormat Asian Institute University of Melbourne dan Adjung di School of Philosophy, History and International Studies Monash University. Beliau juga penyelaras/pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia (UUM)

No comments:

Post a Comment