nuffnang

LIKE ME

Friday, 17 August 2012

Info Sihat

6 Tip Makan Di Hari Raya
Setelah sebulan menahan diri daripada makan dan minum, bukan bermakna anda boleh makan sesuka hati menjelang hari lebaran. Meski benar, hari raya adalah hari kemenangan, tetapi kemenangan itu adalah bagi umat Islam yang berjaya menahan diri dari melakukan pelbagai perkara yang membatalkan puasa, malah dapat menambahkan pahala puasanya.
Bagi mengekalkan pola pemakanan sihat yang diamalkan sepanjang Ramadan, ikuti beberapa tip yang boleh anda amalkan di hari raya.
1. Jangan makan berlebihan di hari raya. Tubuh anda baru sahaja melalui proses detoksifikasi yang baik selama sebulan penuh. Jadi, sebaiknya jauhilah daripada terus meracuni tubuh anda dengan makanan-makanan berlemak tinggi, berkuah dan bersantan, apatah lagi tabiat lama anda seperti merokok.
2. Memang tidak dapat dielakkan makanan yang mengandungi santan seperti rendang, masak lodeh, ketupat palas dan sebagainya. Justeru, kurangi pengambilan makanan sebegini serta pilih hidangan yang mengandungi kuah santan yang cair. Sebolehnya, pilih ayam tanpa kulit atau daging tanpa lemak. Tambahan, tubuh masih memerlukan masa untuk beradaptasi kembali dengan pola waktu makan anda yang kembali normal. Sebab itu,anda digalakkan makan sedikit sahaja.
3. Pilih makanan yang tidak mengandungi banyak gula. Rata-rata hidangan di hari raya banyak yang mengandungi gula dan lemak yang tinggi. Makanan tersebut boleh meningkatkan respons tubuh untuk menghasilkan insulin berlebihan sehingga lemak akan kembali terkumpul di tubuh anda secara berlebihan.
4. Hindari makanan bersantan dan berminyak. Ini kerana makanan yang mengandungi minyak dan santan tentunya mengandungi kolesterol yang begitu tinggi. Kadar LDL (kolesterol jahat) di dalam darah akan melonjak melebihi kadar HDL (kolesterol baik).
5. Hidangkan buah potong dan sayuran segar untuk memenuhi vitamin dan zat lain bagi tubuh anda. Lebih baik makan buah potong daripada makan ais buah-buahan seperti smoothies atau jus buah yang sememangnya banyak memerlukan gula. Makanan berserat akan membantu mengurangi penyerapan kolesterol dan racun untuk tubuh anda.
6. Minum air putih. Hindari minuman ringan atau sirap. Banyakkan minum air putih terutama selepas makan pelbagai jenis makanan. Pastikan juga air putih bersih dan bebas kuman dan jumlahnya perlu memenuhi keperluan tubuh sekitar 1.5 liter sehingga 2.5 liter sehari.
Kekal Segar Sepanjang Perjalanan Balik Kampung
Sempena lebaran ini pasti ramai yang sedang bersiap sedia untuk pulang ke kampung halaman. Selain bersiap sedia menyambut hari raya, ramai juga yang bersiap sedia untuk pulang ke kampung halaman. Bagi anda yang memilih melakukan perjalanan dengan kenderaan sendiri, sebaiknya membuat persiapan berikut agar anda kekal segar dan cergas sepanjang perjalanan. Ikuti panduan mudah di bawah :
Jaga Pandangan
Rasa mual boleh berlaku ketika otak dan tubuh tidak seiring memutuskan bergerak atau tidak. Misalnya, jika anda sedang duduk diam di kerusi dan dalam masa yang sama anda bergerak maju ke depan apabila berada di dalam kenderaan. Situasi ini boleh menyebabkan anda rasa mual. Jadi, fokuskan sahaja pandangan anda pada titik stabil di kejauhan bagi memberi signal kepada otak bahawa anda memang akan bergerak maju ke depan meski duduk diam di dalam kenderaan. Objek seperti bangunan, pohon besar, atau papan tanda jalan boleh menjadi titik fokus anda.
Ubat-ubatan
Anda tentu tahu kebiasaan tubuh anda ketika berjalan jauh. Sekiranya anda mudah berasa tidak selesa seperti mual dan muntah-muntah, bersedia lebih awal. Ambil ubat penahan muntah beberapa jam sebelum memulakan perjalanan. Selebihnya, anda boleh membawa bahan makanan lain yang boleh membantu anda mengurangkan masalah mual dan muntah-muntah seperti asam, gula-gula dan sebagainya.
Pilih Bangku Terbaik
Jika anda mudah sakit badan ketika duduk lama di dalam kenderaan, sebaiknya pilih tempat duduk yang boleh memberi anda pandangan yang jelas, luas dan selesa. Tempat duduk di belakang mungkin mempunyai pandangan terhalang, jadi tempat duduk di hadapan adalah yang terbaik untuk anda.
Anda boleh menikmati suasana di luar kenderaan melalui cermin hadapan tanpa halangan. Pandangan tumbuhan hijau seperti kelapa sawit, getah, sawah padi ataupun mungkin suasana kampung atau pesisiran pantai yang membiru lebih menyegarkan anda.
Buka Tingkap
Udara segar mungkin membantu anda bagi yang sering berasa mual, pening dan mudah muntah-muntah ketika berjalan jauh. Jika berada di jalan raya, biarkan tingkap dibuka sedikit agar udara segar boleh masuk ke dalam kenderaan sehingga menenangkan anda.
Hindari Makanan Berlemak Dan Pedas
Makanan sebegini boleh membuat perut berasa tidak selesa. Membiarkan perut kosong juga tidak bagus kerana anda lebih mudah berasa mual dan pening. Anda boleh makan makanan berkarbohidrat sederhana dan minumlah banyak air jika anda memulakan perjalanan selepas berbuka atau bersahur.

No comments:

Post a Comment