nuffnang

LIKE ME

Sunday, 2 September 2012

Kenapa Wanita Hamil Mengidam Benda Pelik

Wanita yang baru disahkan hamil pastinya cukup teruja untuk meraikan berita gembira itu dengan pasangannya. Bagi bakal ibu yang menimang cahayamata sulung, jangan terkejut dengan perubahan yang bakal dihadapi kala mengandung. Dalam ruangan kali ini, pembaca berpeluang mengetahui lima perkara yang boleh dihadapi oleh bakal ibu yang disahkan hamil.
Pedih ulu hati, loya dan muntah, keinginan untuk menikmati sesuatu makanan merupakan antara tanda-tanda sampingan yang akan dialami oleh wanita hamil. Ada juga di kalangan wanita hamil yang mengidam untuk makan sabun malah mempunyai air liur yang berlebihan di dalam mulut semasa mereka mengandung. Hal ini benar-benar berlaku, untuk mengetahui dengan lebih lanjut teruskan pembacaan anda dengan penerangan di bawah.
Wanita Hamil Dan Mengidam Keterlaluan
Semasa hamil macam-macam perkara pelik boleh menjadi keinginan. Tiba-tiba terasa hendak makan sesuatu misalnya ais, kapur tulis malah kotoran. Keinginan yang keterlaluan begini belum dikenal pasti lagi puncanya namun ia ada perkaitan dengan faktor biokimia, psikologi dan budaya di persekitaran mahupun di tempat kerja. Mengidam keterlaluan atau pica ini diistilahkan untuk wanita hamil yang ingin menikmati sesuatu yang bukan makanan seperti tanah liat, sabun, ais, beras malah biji kopi. Ia biasa terjadi di kalangan wanita hamil.
Dalam sesetengah kajian yang dijalankan keadaan ini ada perkaitannya dengan kekurangan zat besi (walaupun apa yang diinginkan tidak ada pun unsur zat besi di dalamnya). Tetapi tidak juga bermakna mereka yang mengidam keterlaluan itu mengalami keadaan kurang zat besi dalam badan. Tidak perlu mengambil zat besi secara berlebihan. Tetapi pengambilan makanan sebegitu boleh mengganggu proses penyerapan nutrien dalam tubuh langsung memudaratkan.
Hidung Berair
Anda mengalami keadaan hidung tersumbat? Hal ini bermakna anda di antara 20 ke 30 peratus wanita yang berhadapan dengan keadaan itu sepanjang kehamilan. Ia dinamakan kehamilan rhinitis dan ia boleh berlaku seawal dua bulan kehamilan dan berlanjutan sehingga bayi dilahirkan malah beberapa minggu selepas kelahiran.
Hormon estrogen yang berlebihan boleh menyebabkan membran mucus membengkak malah menyebabkan pengeluaran mucus secara berlebihan. Darah yang berlebihan dalam tubuh semasa hamil juga boleh menyebabkan saluran darah yang kecil membengkak pada garisan hidung lalu menyebabkan kesesakan pada sekitar tisu hidung.
Air Liur Berlebihan
Pernahkah anda secara tiba-tiba mahu meludah dengan kerap? Pakar perubatan sendiri tidak dapat mengenal pasti mengapa sesetengah bakal ibu mengandungi air liur berlebihan semasa hamil. Namun perubahan hormon dan loya turut dikaitkan dengan keadaan ini. Kerap meludah akibat pengeluaran air liur yang berlebihan ini dinamakan ptyalism atau sialorrhea dan ia menyebabkan keadaan tidak selesa kepada bakal ibu. Tetapi ia tidak menjejaskan janin dalam kandungan.
Dalam keadaan biasa, kelenjar air liur menghasilkan satu setengah kuart air liur sehari. Tetapi disebabkan proses menelan berlaku dengan kerap, anda tidak menyedari air liur yang ada di dalam mulut. Tetapi semasa hamil anda menyedari yang terdapat banyak air liur terkumpul di dalam mulut. Ia mungkin terjadi kerana anda telah menghasilkan air liur yang banyak atau anda tidak melakukan proses menelan dengan kerap atau kedua-duanya.
Tercungap-cungap Semasa Bernafas
Tidak dinafikan sesetengah wanita hamil akan mengalami keadaan sebegini di awal kehamilannya. Tubuh anda memerlukan oksigen semasa hamil malah ia amat memerlukannya dalam keadaan tertentu. Hormon yang meningkat terutama progesteron akan memberi kesan langsung kepada jantung yang kemudiannya merangsang pusat resporatori pada otak. Sedangkan kadar pernafasan untuk tempoh seminit berubah sedikit sahaja semasa mengandung manakala jumlah udara yang disedut dan dilepaskan dalam setiap hembusan itu bertambah dengan nyata sekali.
Semakin janin membesar, ia akan memberi tekanan kepada bahagian diafragma dan menyebabkan pernafasan menjadi sukar. Lebih-lebih lagi jika wanita hamil itu mengandung bayi kembar. Bagi wanita hamil buat kali pertama, anda dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi terutama di penghujung kehamilan. Anda perlu mendapatkan rehat yang mencukupi di penghujung kehamilan.
Pening Kepala
Pening kepala semasa hamil juga turut dialami oleh wanita hamil. Ketika ini sistem kardiovaskular dan tekanan darah melalui banyak perubahan. Kadangkala keadaan ini menyebabkan tubuh tidak dapat menerima perubahan langsung menyebabkan sakit di bahagian kepala.
Keadaan ini juga menyebabkan kadar degupan jantung bertambah, darah di bahagian jantung mengepam dengan lebih laju dan darah dalam tubuh meningkat antara 40 ke 45 peratus. Biasanya sistem kardiovaskular dan sistem saraf boleh mengawal perubahan yang berlaku semasa hamil dan darah yang berlebihan akan mengalir ke bahagian otak, namun ada ketikanya ia tidak dapat menyesuaikan dengan keadaan yang berlaku sehingga menyebabkan anda berasa pening.
Kelima-lima perubahan yang dialami ini akan memberi kesan emosi kepada wanita hamil. Oleh sebab itu, wanita hamil yang mudah panik sebaliknya terima perubahan yang berlaku dengan tenang. Sekiranya, perubahan itu menyebabkan wanita hamil tidak dapat bangun dan menjalani kehidupan yang biasa, sebaik-baiknya segeralah berjumpa dengan doktor.

No comments:

Post a Comment