Ramadan yang tiba menjadi penanda Aidilfitri bakal tiba tidak lama lagi. Busana-busana tradisi sememangnya menjadi pilihan buat wanita dalam menyerlahkan penampilan mereka. Kini perkembangan fesyen-fesyen khusus buat busana hari raya telah berkembang dengan kemunculan pelbagai jenis rekaan yang diterjemahkan dengan penuh eksklusif dan anggun. Tampil sempurna dengan tip pemilihan busana yang tepat mengikut trend dan juga yang menyerlahkan personaliti anda.
CORAK & WARNA
Pemilihan corak dan warna bergantung pada kesukaan anda. Namun dalam keriuhan memilih pelbagai corak dan warna, apa kata anda renung kembali warna yang paling sesuai dengan diri anda. Tidak semestinya jika warna-warna terang sedang hangat digayakan anda juga hendak mengikut gaya ini. Bak kata pepatah, warna yang terbaik adalah warna yang paling menyerlahkan keserian anda. Melihat kepada trend-trend terkini yang dipersembahkan oleh pereka tempatan mereka meneroka banyak palet dan juga corak seperti jaluran, cetakan dan juga flora. Satu sahaja pesan penulis jika anda bertubuh gempal pilihlah corak flora berbunga kecil dan juga jaluran menegak bagi menampakkan anda kelihatan lebih kurus.
FABRIK
Fabrik menjadi salah satu kriteria dalam pemilihan satu-satu busana. Terdapat pelbagai jenis fabrik yang boleh diolah menjadi persalinan sempurna untuk hari raya, namun anda harus memahami konsep pemilihan jenis fabrik ini. Sebagai contoh, fabrik seperti satin dan sifon memberikan aura lebih mewah kepada si pemakai manakala fabrik kapas pula memberikan kesan santai dan lebih lasak untuk digayakan. Fabrik jenis lycra pula dilihat mampu memberikan ilusi alunan dan bentuk pakaian yang sempurna memandangkan beratfabriknya cantik terletak pada tubuh. Namun mungkin fabrik ini tidak sesuai buat mereka yang gempal kerana ia akan menampakkan segala lekuk yang ada pada tubuh!
PEPLUM
Sesetengah orang berpendapat fesyen peplum ini sudah patut dilupakan, ini tidak benar sama sekali. Ternyata trend fesyen Malaysia masih lagi menjadikan peplum sebagai satu rekaan wajib saban musim. Trend ini menjadi salah satu gaya wajib milik buat kebanyakan wanita yang menggemari fesyen. Olahan peplum boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian rekaan pakaian. Sebagai contoh rekaan peplum penuh perlulah dilaraskan tidak terlalu melebihi garis pinggul supaya pinggul tidak kelihatan besar. Rekaan perincian separa peplum berlapis pada pinggang boleh mencipta ilusi melangsingkan tubuh.
No comments:
Post a Comment