| Nafas tercungap
Kesan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) boleh bawa padah
GOLONGAN
dewasa yang normal bernafas lebih dari 20,000 kali sehari. Namun, cuba
bayangkan, setiap kali menarik dan menghembus nafas, anda umpama
bergelut dengan nyawa akibat saluran udara yang sempit.
Begitulah bahana yang dilalui pesakit sekatan pulmonari kronik (COPD)
iaitu sejenis penyakit progresif akibat saluran udara menjadi sempit
yang boleh mengancam nyawa.

Ada sesetengah kes pesakit COPD hidup di kediaman yang dipenuhi asap
dari dapur memasak atau asap dari alat pemanas yang digunakan untuk
memanaskan rumah. - Prof Dr Roslina Abdul Manap, Presiden Persatuan
Thoracic Malaysia
Ramai mungkin tidak pernah mendengar atau mengetahui apa itu COPD
berbanding asma atau bronkitis. COPD sering dikaitkan dengan tabiat
merokok tegar, udara yang tercemar serta terdedah pada persekitaran
kerja tertentu hingga berlakunya sekatan pada laluan udara paru-paru.
Situasi ini menyebabkan pesakit tercungap-cungap akibat sesak nafas.
Tidak hairanlah, lama kelamaan individu yang mengalami keadaan ini
menjadi tidak aktif.
Mengikut perangkaan, COPD menjejaskan 210
juta orang di seluruh dunia malah dijangka menjadi penyebab ketiga
tertinggi kematian pada 2020. Merokok adalah penyebab utama COPD, dengan
perokok wanita sebanyak 13 kali manakala perokok lelaki 12 kali lebih
cenderung mati akibat COPD berbanding mereka yang bukan perokok.
Namun, merokok bukan satu-satunya punca COPD. Faktor lain termasuk
terdedah kepada asap atau pencemaran luaran mahupun dalaman, juga boleh
meningkatkan peluang menghidap COPD.
Ada antara pesakit COPD
dijangkiti penyakit itu akibat terlalu lama berada di persekitaran
berdebu dan berasap. Persatuan Thoracic Amerika Syarikat melaporkan,
terdedah kepada amalan kerja menyumbang 10 hingga 20 peratus kepada
gejala atau kegagalan fungsi yang konsisten dengan COPD.
Presiden Persatuan Thoracic Malaysia, Prof Dr Roslina Abdul
Manap, COPD lazimnya dihidapi lelaki tetapi kini turut menjejaskan
wanita.
“Ini disebabkan peningkatan dalam penggunaan tembakau
dan risiko tinggi terdedah kepada pencemaran dalaman seperti bahan api
pejal yang digunakan untuk memasak dan memanaskan makanan.
“Ada sesetengah kes pesakit COPD hidup di kediaman yang dipenuhi asap
dari dapur memasak atau asap dari alat pemanas yang digunakan untuk
memanaskan rumah,” katanya kepada kolum Sihat.
Prof Roslina
yang juga Ketua Unit Respiratori Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan
Malaysia (PPUKM) berkata, gejala COPD paling lazim ialah mencungap atau
sesak nafas; kahak luar biasa; batuk kronik; nafas berdehit (wheezing)
dan dada ketat.
“Kadangkala, aktiviti rutin dan mudah seperti
berjalan menaiki atau menuruni tangga lama kelamaan boleh menjadi
sesuatu yang menyusahkan,” katanya.
Beliau berkata, COPD
didiagnosa menggunakan ujian ringkas dikenali sebagai spirometri yang
berfungsi mengukur kekuatan pernafasan (menarik dan menghembus) serta
selaju mana ia dihembus keluar.
“Malangnya kebanyakan pesakit
COPD terlepas proses diagnosa atau tidak diuji dengan sempurna hingga
penyakit itu bertambah parah,” katanya.
Prof Roslina berkata,
pakar perubatan hanya menjalankan ujian spirometri apabila pesakit
menunjukkan tanda seperti batuk kronik, menghasilkan kahak, Dyspnea
(sesak nafas), terdedah terlalu lama kepada asap tembakau, habuk dan
bahan kimia di tempat kerja serta asap dari aktiviti di rumah.
Beliau berkata, akibat kebanyakan pesakit cenderung mengaitkan gejala
COPD dengan tabiat merokok dan usia yang meningkat, mereka mengabaikan
pemeriksaan kesihatan hingga keadaan bertambah parah. Akibatnya ketika
diagnosa dilakukan, lebih 50 peratus fungsi paru-paru mengalami
kegagalan.
“Walaupun COPD tidak boleh sembuh sepenuhnya, ia
boleh dirawat dan dicegah, jadi sasaran utama rawatan adalah untuk
mengurangkan gejala dan mengelak komplikasi atau mengawal dari melarat
dengan kesan sampingan minimum,” katanya.
Beliau berkata, ubat
Bronchodilators yang menenangkan dan membuka laluan udara dalam
paru-paru memainkan peranan penting dalam menguruskan gejala COPD.
“Kebanyakan bronchodilators diambil menggunakan alat sedut.
Bergantung kepada betapa teruk penyakit yang dihidapi, tidak kira cepat
atau lambat tindak balasnya, sedutan bronchodilator mungkin akan
diberi,” katanya.
Prof Roslina berkata, bronchodilators sedut
yang cepat tindak balasnya iaitu dalam tempoh 15 hingga 20 minit serta
mampu bertahan dari empat hingga enam jam boleh membantu mengurangkan
cungap malah dikenali sebagai ubatan penyelamat.
Menurutnya,
bronchodilators yang lambat kesannya digunakan setiap hari bagi membuka
laluan udara dan memastikan ia terbuka sehingga 12 jam malah dalam kes
tertentu sehingga 24 jam.
“Rawatan COPD merangkumi sama ada
satu ubat atau kombinasi beberapa ubat dalam satu alat sedut seperti
bronchodilators, corticosteroid, kombinasi bronchodilators, atau
kombinasi bronchodialators dan corticosteroid.
”Selain itu, COPD juga boleh dirawat dengan antibiotik, terapi oksigen, pemulihan pulmonari dan pembedahan,” katanya.
Beliau berkata, vaksin kegagalan paru-paru (pneumonia) dan influenza juga perlu diberi kepada pesakit COPD.
Kesimpulannya, pesakit COPD perlu mengubah gaya hidup dengan
mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam, berhenti merokok dan jauh
dari sebarang bentuk pencemaran.
Ubah gaya hidup selepas diserang COPD
“SAYA
menyesal kerana terlalu mengikut hati dan degil untuk berhenti merokok.
Sekarang, bukan saja penyakit ini menyusahkan diri, keluarga serta
rakan-rakan, malah amat membebankan dari segi kewangan,” luah hati Lau
Swe Teng, 66, yang menghidap COPD sejak 11 tahun lalu.
Cerita
Lau yang berasal dari Morib, Selangor, beliau mula merokok sejak di
bangku sekolah dan tabiat itu sukar ditinggalkan sehingga Februari 2001
apabila terasa dadanya sempit dan sukar bernafas.
Bimbang
melihat keadaan Lau yang agak tenat, keluarganya terus membawa ke
hospital dan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
Selepas insiden pertama itu, Lau yang juga bapa kepada dua cahaya mata
mula menyesuaikan diri sambil belajar mengenali karakter penyakitnya
itu. Pada awalnya, Lau masih lagi berdegil mengikut sepenuhnya nasihat
doktor.
“Tetapi selepas disahkan menghidap COPD, saya belum berhenti merokok sepenuhnya, malah pemakanan juga masih mengikut selera.
“Namun, serangan makin kerap dan kebanyakan insiden berlaku bukan
saja di rumah tetapi juga ketika berada bekerja. Pernah suatu hari, ia
menyerang ketika saya sedang membeli keperluan dapur bersama isteri di
mana saya tiba-tiba rebah.
“Bayangkan, betapa susahnya hati
isteri dan keluarga akibat kedegilan saya selama ini,” ceritanya ketika
ditemui pada majlis memperkenalkan alat sedut Onbrez Breezhaler keluaran
Novartis Corporation (Malaysia) Sdn Bhd di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bukan itu saja, Lau pernah panik apabila diserang COPD ketika sedang mengendalikan mesyuarat dengan rakan perniagaan.
Cerita Lau, apabila berhadapan penyakit kronik begini, keputusan
memilih pusat rawatan yang tepat amat penting. Walaupun Lau memiliki
skim perlindungan insuran kesihatan, ia masih tidak mencukupi untuk
menampung perbelanjaan kesihatan sepanjang 11 tahun menghidap COPD.
Malah, wang simpanannya terpaksa digunakan untuk menampung kos
perubatan yang tinggi - begitulah beban kewangan yang perlu ditanggung
selain kesan terhadap emosi dan psikologi Lau sekeluarga.
“Selepas pengalaman mendapatkan rawatan di beberapa hospital, akhirnya
saya dirujuk kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan terus mendapatkan
rawatan lanjut di Institut Perubatan Respiratori (IPR).
“Saya
bertuah dan sangat bersyukur kerana selepas mendapat bantuan pakar dan
staf terbaik di pusat berkenaan, serangan penyakit ini makin berkurangan
dan boleh dikawal dengan ubat-ubatan termasuk alat sedut. Malah, saya
sendiri sudah mula mengubah gaya hidup dan berhenti merokok.
“Kini saya seperti orang biasa, boleh bekerja dan menjalani rutin harian
tanpa rasa bimbang. Walaupun sesekali masih diserang COPD jika tidak
menjaga pemakanan atau minum ais, namun ia masih terkawal dan tidak
serius.
“Ternyata pengambilan ubat yang teratur selain
mendengar nasihat doktor sangat membantu proses pemulihan kerana COPD
boleh dirawat,” katanya.
Lau berkata, mesej dan kesedaran
mengenai COPD sangat penting kepada masyarakat kerana melalui pengalaman
berjumpa pesakit COPD di hospital dan di tempat lain, kebanyakan orang
tidak tahu bahaya COPD kepada perokok dan kaedah rawatan terbaik
mengatasinya.
“Orang ramai perlu tahu bahawa COPD amat
menyusahkan diri pesakit, keluarga dan rakan-rakan. Cuba bayangkan
azabnya keadaan apabila anda hanya mampu menarik nafas tetapi sukar
untuk menghembuskan keluar akibat laluan udara yang sempit.
“Nasihat saya, sekiranya anda dan ahli keluarga menghidap penyakit ini
cepatlah berjumpa pakar, dengarlah nasihat mereka dan cubalah untuk
berubah kerana COPD bukan saja boleh dikawal tetapi boleh diubati,”
katanya.
Lau kini lebih selesa mengamalkan gaya hidup sihat
dan aktif dengan berjalan selama sejam setiap pagi, mengamalkan diet
seimbang, mengelak minuman sejuk dan makanan yang terlalu pedas serta
tidak mengangkat bebanan