nuffnang

LIKE ME

Showing posts with label INFO-info. Show all posts
Showing posts with label INFO-info. Show all posts

Wednesday, 10 July 2013

TIPS MEMBELI JUADAH BERBUKA





Banyak penjimatan boleh dilakukan kalau dapat mengawal nafsu berbelanja 

Sempena Ramadan ini sudah tentu ramai yang kelabu mata membeli juadah berbuka. Pelbagai jenis kuih-muih, lauk-pauk, air minuman pasti menyebabkan kita berpisah dengan duit tanpa sedar. 

Ditambah pula dengan bajet kewangan untuk menyambut kedatangan Syawal, segala persiapan perlu dibeli dan hanya pada bulan ini sajalah masa yang tinggal untuk menyediakan semuanya. 

Hakikatnya pada Ramadan ini, anda perlu mengawal kewangan dan perbelanjaan. Janganlah pula perbelanjaan lebih banyak berbanding bulan biasa. 

Lebih-lebih lagi sebagai Muslim, kita diseru berjimat cermat dan tidak menurut hawa nafsu terutama ketika berbuka puasa. Jangan sampai nafsu berbuka mengatasi semuanya. Tambahan pula pada bulan puasa kita bukan saja diminta mengawal nafsu makan dan minum, tetapi juga nafsu berbelanja. Jangan sampai membazir. 

Ada beberapa panduan mudah yang praktikal untuk berjimat di bulan puasa. Antaranya adalah masak sendiri di rumah untuk berbuka puasa atau bersahur. 

Mungkin menjadi sesuatu yang janggal sekiranya anda tidak ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa. Tambahan pula bagi warga kota yang sentiasa sibuk dengan kerjaya dan tidak punya banyak masa untuk masak di rumah. Begitu juga mereka yang masih bujang. 

Untuk penjimatan maksimum, anda tidak perlulah ke bazar Ramadan terlalu kerap. Masak saja juadah berbuka seperti masak makan malam biasa. 

Jika tidak sempat apa salahnya anda masak terlebih dulu sebelum pergi ke tempat kerja atau semasa anda bersahur. Ketika sampai di rumah hanya perlu panaskan semula saja makanan. 

Hanya perlu sediakan air, kurma dan sedikit kuih sebagai pelapik perut sekiranya anda terpaksa berbuka di dalam kereta, menghadapi kemungkinan terperangkap dalam kesesakan di jalan raya ketika pulang kerja. 

Sekiranya anda masih bujang dan berkongsi rumah dengan kawan-kawan, bolehlah kumpulkan wang untuk membeli bahan mentah dan masak sendiri. 

Anda tidaklah dihalangnya untuk mengunjungi bazar Ramadan, jika tidak sempat memasak dan keupayaan tiada salahnya membeli juadah di bazar Ramadan. 

Tapi pastikan anda membuat perancangan sebelum ke bazar, buat senarai makanan atau barang yang ingin dibeli berserta dengan anggaran kos. 

Sediakan sejumlah wang yang diperlukan saja di dalam dompet atau beg tangan anda. Ini akan mengelakkan anda terlebih berbelanja dan mengajar anda untuk berdisiplin dalam membeli juadah berbuka. 

Disarankan untuk berkongsi dalam membeli juadah, masing-masing membeli sedikit juadah dan berkongsi makan bersama-sama ketika berbuka. 

Selain itu, apa salahnya jika anda berbuka puasa di surau atau masjid. Sudah pasti banyak masjid yang menyediakan juadah berbuka sepanjang bulan Ramadan. 

Pasti ramai yang pernah berbuka di masjid terutamanya ketika zaman belajar dulu kerana ingin berjimat. Apa salahnya praktikkan semula perkara initi walaupun anda telah bekerja dan mempunyai wang sendiri. 

Selain dapat berjimat, anda juga dapat mengeratkan hubungan dengan warga masjid yang lain selain boleh menunaikan ibadat. Jika berbuka puasa di luar atau di rumah, belum tentu ibadat dan Tarawih akan ditunaikan, pasti pelbagai alasan akan timbul. 

Panduan penjimatan di bulan puasa yang lain adalah elakkan berbuka puasa di hotel atau tempat yang menyediakan bufet berbuka puasa dengan harga yang mahal. 

Bayangkan jika anda terpaksa membayar hampir RM100 untuk berbuka puasa di tempat sebegini, tanya diri adakah anda mampu menghabiskan semua makanan yang disediakan. 

Tepuk dada, tengoklah status kewangan anda. Kalau anda mampu tidak mengapa, kalau tidak mampu ukurlah baju di badan sendiri. Eloklah gunakan kewangan yang ada itu untuk berbelanja membeli juadah berbuka selama beberapa hari. 

Ketika Ramadan inilah usahawan yang menjual makanan, kurma, kuih raya, baju raya dan lain-lain mengaut keuntungan disebabkan permintaan yang tinggi. 

Seharusnya anda membeli kelengkapan menyambut Syawal sebelum bulan Ramadan lagi. Belilah sedikit demi sedikit setiap bulan, pasti anda akan memperoleh lebih kelengkapan Syawal dari berbelanja ketika bulan Ramadan. 

Jika lakukan sebegini, anda tidak perlu bersesak-sesak dengan pengunjung lain untuk membeli kelengkapan raya, and dapat berjimat banyak semasa Ramadan dan boleh digunakan selepas kedatangan Syawal. 

Wednesday, 19 June 2013

Serlahkan kecantikan bibir


Golongan wanita terutamanya pasti menginginkan bibir yang muda dan mungil. Ironinya, semakin umur kita meningkat, bibir kita cenderung untuk menjadi nipis dan keremajaan bibir turut pudar. Namun, anda tidak perlu merasa khuatir akan keadaan ini. 

Ini kerana di sini kami ingin berkongsi dengan anda beberapa tips yang boleh anda praktikkan untuk mengembalikan semula keremajaan bibir anda. 

Gunakan pelembap bibir yang mengandungi SPF
Jangan lupa untuk menjaga bibir dan melindungi bibir anda dari sinar UV dengan memakai pelembap bibir yang mengandungi SPF. Gunakan pelindung matahari untuk melambatkan kedutan di sekitar bibir anda. 

Garis bibir untuk menonjol
Gariskan bibir anda menggunakan pensel bibir yang setona dengan warna bibir anda. Untuk meningkatkan aset anda itu, panjangkan lukisan garisan bibir untuk membuat bibir anda kelihatan penuh. 

Pilih warna terang
Untuk warna bibir, pilihlah warna yang lebih terang berbanding warna gelap. Ianya cenderung untuk membuatkan bibir anda kelihatan lebih kecil. 

Aplikasi gloss
Gloss akan menjadikan bibir anda kelihatan penuh kerana ia lebih bersinar. Mulakan mencalit pada tengah bibir atas dan kemudiannya bawah untuk mencipta kesan 3D agar penampilan lebih elegan. 

Serlahkan kemungilan
Selepas menggunakan gloss, gunakan celak berwarna putih untuk menggaris bibir bawah dan ratakannya. Ini akan memberikan ilusi terang untuk bibir yang lebih mungil.

Tips memakai jeans berwarna



Kini terdapat banyak jeans berwarna ditawarkan seperti jeans berwarna ungu, pink, jingga, kuning ataupun merah. Namun kadang-kala pasti anda akan berasa bingung untuk dipandankan. Kepada anda yang ingin memakai jeans berwarna ini, di sini terdapat beberapa tips untuk anda tampil menarik dengan jeans berwarna. 

Pilihlah warna solid 
Jeans warna solid masih banyak dipakai oleh golongan remaja kini. Namun untuk tampil lebih menarik lagi, anda boleh padankan jeans berwarna dengan baju warna terang. Kombinasi jeans berwarna dengan baju warna terang akan membuatkan anda tampak lebih feminim. Anda juga boleh menambah dengan memakai aksesori seperti gelang, rantai atau tali pinggang dengan warna yang sesuai. 

Jeans berwarna dengan gaya 'sporty'
Anda juga boleh mencuba menggayakan jeans berwarna dengan kombinasi jeans dengan kasut hi-top, slouchy tees atau jaket untuk tampil lebih 'sporty'. 

Gayakan dengan jaket kulit
Jaket kulit merupakan salah satu atasan yang sesuai untuk dipakai dan dipadankan dengan jeans berwarna. Anda akan tampak lebih ceria dan hebat. 

Jeans berwarna dipadankan dengan pakaian yang santai
Anda dapat memadankan jeans tersebut dengan 'sweater' berpotongan longgar, tank top, serta beberapa aksesoris sederhana seperti anting, kalung, gelang, maupun tali pinggang. Anda juga dapat memakai tudung dengan warna yang sesuai. Untuk melengkapi penampilan, anda juga boleh memakai kasut tumit tinggi untuk membuat anda kelihatan lebih tinggi. 

Padankan dengan blazer untuk tampak rapi
Blazer dapat menjadi pilihan ketika anda menggayakan jeans berwarna. Blazer akan membuat anda terlihat lebih rapi walaupun memakai jeans. Jika tempat kerja tidak mengharuskan anda memakai pakaian formal, padanan blazer dengan jeans kegemaran anda pasti akan membuatkan anda tampil dengan bergaya ke pejabat. 

Elakkan memakai jeans berwarna terang waktu malam
Jika anda keluar pada waktu malam, elakkan dari memakai jeans berwarna neon. Pilih warna jeans yang gelap seperti warna ungu gelap, merah maroon atau hijau olive yang dipadankan dengan aksesori metalik. 

10 makanan mampu bersihkan kulit wajah


Setiap orang menginginkan wajah yang bersih, sihat dan tampak mulus. Walaupun pelembab sangat baik, makanan juga mampu membersihkan wajah dan membuat anda kelihatan lebih muda dan bertenaga. Terdapat 10 makanan yang membantu anda membersihkan wajah untuk kelihatan sihat, bercahaya dan bertenaga.



Avokado 
Bukan sahaja digunakan dalam pelbagai produk kecantikan, tetapi kulit serta isi avokado kaya dengan vitamin B. Ia sangat penting untuk mendapatkan kulit yang licin, sihat, membantu mencegah iritasi, merah dan bengkak pada kulit. Anda boleh mengambilnya bersama salad, smoothie atau boleh menyapu isi buah tersebut di muka untuk dijadikan skrub.




Beri 
Vitamin C sangat penting untuk kulit yang sihat dan buah beri telah membuktikannya. Strawberi dan beri hitam mengandungi serat kolagen untuk membuat kulit tampak lebih muda. Diperkaya dengan anti oksidan yang tinggi, ia turut berkesan untuk membantu mencegah keradangan tidak kira anda mengamalkannya bersama smoothie atau cara biasa.




Keju kotej (Cottage cheese) 
Selenium dan Vitamin E yang terdapat dalam makanan ini dapat membantu melawan radikal bebas dan membekalkan antioksidan yang tinggi untuk kulit sihat. Ada laporan mengatakan khasiat kotej keju ini dapat mencegah kanser apabila diamalkan dalam pelan diet yang sihat.

  


Almond (kacang) 
Asid lemak dalam makanan ini dapat membantu mengekalkan sel membrane dan dapat menyahkan toksik di dalam badan. Almond juga mengekalkan air dalam badan yang akan menjadikan kulit wajah dan badan yang pejal dan sihat. Selain itu, minyak baik yang terdapat di dalam almond ini sangat bagus untuk kesihatan jantung dan mengekalkan kesihatan berat badan.


Kentang
Kentang mengandungi zat besi yang sangat tinggi untuk keperluan tubuh. Diperkaya dengan zink dan vitamin C, kentang juga dapat membina kekenyalan kulit untuk tampil muda dan sihat sepanjang masa. 




Bijirin
Walaupun bijirin dapat menyebabkan peningkatan gula dalam darah, bijirin juga dapat membantu mengekalkan keremajaan dan kesihatan luaran yang anda mahu. Namun, anda harus memastikan bijirin ini mempunyai serat yang tinggi untuk mendapat manfaat yang baik kepada kulit anda. 



Biji flaks
Jika anda tidak suka makan ikan dan makanan yang mengandungi lemak asid omega tiga yang tinggi, biji flaks ini merupakan penyelesaian kepada anda. Omega 3 yang terdapat dalam biji ini dapat membantu menhidratkan kulit, mengurangkan sebum, menutup liang roma serta membantu mencegah jerawat. Minyak yang terdapat di dalam biji ini memberikan kulit wajah yang berseri secara semulajadi serta kulit yang muda dan sihat. 



Yogurt
Kaya dengan protein, yogurt membantu untuk membina kulit yang lebih anjal. Yogurt dari Greek mengandungi dua kali lebih protein dan kaya dengan serat. Terdapat pelbagai perisa yogurt dan anda juga boleh mengamalkan yogurt dengan tambahan buah beri, madu dan pelbagai buah lain. 



Lada
Warna hijau, kuning, oren, dan merah pada lada dapat menyerlahkan hidangan anda. Karotenoid (antioksidan di dalam lada) dapat mengurangkan kedutan pada wajah, menampakkan wajah lebih muda dan sihat jika selalu diamalkan. 




Mangga 
Bukan sahaja sedap, mangga juga dapat membantu memulihkan kulit. Mengandungi lebih daripada 80 peratus vitamin A, anda perlu amalkannya sekerap mungkin untuk melawan radikal bebas atau kulit tidak akan berkedut pada usia yang muda. Berkalori rendah, mangga amat sesuai diamalkan sewaktu diet.